Kerjasama Kerajaan, pihak swasta penting pastikan industi perikanan laut dalam berkembang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 28 Second

SEMPORNA : Kerjasama di antara Kerajaan dan pihak swasta amat penting bagi memastikan industri perikanan laut dalam dan tuna negara dapat terus berkembang selain memastikan industri ini dimanfaatkan oleh semua pihak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, manfaat yang diperoleh tidak hanya terhad kepada aktiviti penangkapan tetapi pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.

Katanya, ini juga sesuai dengan pelaksanaan penurunan kuasa Ketua Pengarah Perikanan kepada Pengarah Perikanan Negeri Sabah sebagaimana diputuskan di dalam Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) iaitu urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2 di perairan Negeri Sabah telah mula diuruskan oleh Jabatan Perikanan Negeri Sabah.

“Usaha ini tentu sekali akan membolehkan penambahan lebih banyak vesel laut dalam, pengurusan sumber perikanan perairan negeri secara mampan serta terus membangunkan pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai termasuk industri hiliran yang dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini.

“Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sememangnya amat komited dalam memajukan industri tuna di negara ini bagi mencapai pendaratan sebanyak 150,000 tan metrik menjelang tahun 2030 seperti mana yang digariskan dibawah Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan Kilang Pemprosesan dan Bilik Sejuk Beku di Bandar Gudang, Jalan Kastam, Semporna di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan sesi menandatangani Perjanjian Persefahaman dan Kerjasama Strategik antara pemain industri perikanan laut dalam.

Ronald berkata, berdasarkan pencapaian pada tahun ini Malaysia berjaya merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 55,000 tan metrik bernilai lebih RM491 juta dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos 2022.

Katanya, Kerajaan telah memperuntukkan RM14 juta kepada DOF dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) bagi melaksanakan Projek Pembangunan Perikanan Komersial Laut Dalam dan Tuna dalam usaha meningkatkan pendaratan dan penglibatan pengusaha industri serta nilai tambah perikanan laut dalam dan tuna.

“Kerajaan turut menyediakan pelbagai bantuan termasuk dana melalui Agrobank yang boleh dimanfaatkan pemain industri perikanan laut dalam memodenisasi kapal serta mekanisasi tangkapan.

“Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja sebagai membantu pemain industri tetapi menarik lebih ramai pihak untuk meneroka sektor perikanan laut dalam yang mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara tetapi belum diterokai sepenuhnya,” katanya.

Malah katanya, ini juga selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN2.0) yang bukan sahaja mampu menjamin kelangsungan bekalan makanan tetapi turut membuka peluang untuk mengeksport sumber perikanan laut dalam.

Justeru katanya, usahasama dan kerjasama berterusan antara kerajaan dan swasta mampu meningkatkan sumber pendapatan nelayan serta pengusaha di sepanjang rantaian nilai selain membangunkan sektor perikanan negara secara keseluruhannya.

Terdahulu, Kilang Pemprosesan dan Bilik Sejuk Beku itu mempunyai kemudahan lengkap penyimpanan dan pemprosesan hasil tangkapan yang dibeli daripada pengusaha-pengusaha laut dalam di kawasan berkenaan khususnya ikan tuna.

Antara lainnya adalah bagi tujuan pemprosesan sebelum dieksport ke Jepun.

Usaha kolaborasi strategik antara pemain industri ini juga akan meningkatkan pendaratan hasil ikan laut selain membangunkan industri hiliran ikan tuna di kawasan ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *