Sekolah di Kelantan bagi peringatan kes murid diculik

Read Time:1 Minute, 39 Second

CYBERJAYA — Beberapa sekolah di Kelantan didapati mengeluarkan surat dan peringatan kepada golongan ibu bapa dan penjaga supaya mengambil anak-anak mereka tepat pada waktu pulang persekolahan.

Peringatan tersebut dibuat susulan dakwaan wujud kejadian kes culik membabitkan kanak-kanak kebelakangan ini.

Antara surat peringatan yang tular di media sosial dikeluarkan sebuah sekolah rendah di daerah Machang dengan tajuk ‘makluman risiko culik’.

“Sukacita dimaklumkan sejak kebelakangan ini sering berlaku kejadian culik di kalangan murid sekolah. Sehubungan itu pihak sekolah berharap ibu bapa atau penjaga mengambil tindakan sebagaimana berikut:

1) Menghantar dan mengambil anak-anak mengikut ketetapan waktu.

2) Sentiasa memberi ingatan dan pesana kepada anak-anak.

3) Selalu bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani sesuatu kes berlaku.”

Surat berkenaan dikeluarkan pada tarikh 25 Sept dengan tandatangan guru besar sekolah berkenaan.

Selain itu terhadap juga ibu bapa yang menerima pesanan melalui kumpulan WhatsApp kelas anak masing-masing.

“Memandangkan kes culik mula berlaku semula disekitar Kelantan, Ibubapa diminta menjemput anak-anak awal sepertimana ditetapkan.

“Hal ini adalah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini menimpa anak-anak kita.

“Mohon berpesan kepada anak-anak untuk tidak mempercayai atau mengikut orang yang tidak dikenali. Jika tuan puan mengalami masalah untuk menjemput awal boleh hubungi pejabat atau guru kelas untuk perkhidmatan transit kami,” kata satu peringatan yang diterima ibu bapa di sebuah sekolah di Kota Bharu, hari ini.

Dalam perkembangan itu jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengesahkan terdapat sekolah yang mengeluarkan surat peringatan berkenaan.

Katanya, langkah itu diambil atas inisiatif sekolah masing-masing sebaliknya bukan notis berbentuk pekeliling rasmi jabatan.

Terdahulu pada 22 Sept lalu satu rakaman audio tular di media sosial yang mengatakan hampir berlaku kejadian culik di sebuah sekolah di Gua Musang.

Sehubungan itu Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo dalam kenyataan medianya berkata siasatan dibuat berhubung dakwaan itu dan mengingatkan golongan ibu bapa supaya mengambil anak-anak tepat pada waktu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Pihak polis juga mengingatkan kepada mana-mana individu supaya tidak membuat spekulasi sendiri,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.