Hajiji umum sumbangan RM150,000 kepada tiga Majlis Pelajar IPT

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Tiga Majlis Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima kejutan yang menggembirakan apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan sumbangan RM50,000 setiap seorang untuk membantu mereka dalam melaksanakan aktiviti masa hadapan.

Hajiji membuat pengumuman itu di penghujung pertemuan dengan pemimpin Majlis Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Kinabalu dan pelajar Universiti Malaya Sabah (Permasa) di Menara Kinabalu, dekat sini hari ni.

Menyatakan kegembiraan kerana dapat duduk, berinteraksi dan bertukar pandangan dengan wakil pelajar institusi pengajian tinggi dari Sabah, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya komited untuk mendengar idea dan pendapat golongan belia seperti wakil pelajar.

Ketua Menteri turut menjawab beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelajar masing-masing presiden majlis seperti masalah bekalan air, cadangan untuk sebuah Rumah Siswa SMJ program untuk membantu pelajar menghadapi masalah penginapan, isu keselamatan serta tambang penerbangan yang tinggi.

Justeru itu, beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti semua isu untuk faedah kepada pelajar.

Katanya, golongan belia khususnya di institusi pengajian tinggi adalah modal insan yang berharga untuk memajukan negeri serta membantu merealisasikan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya berharap kepimpinan pelajar universiti Sabah akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan kejayaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan berusaha sedaya upaya untuk membantu pelajar mendapatkan pendidikan yang terbaik melalui pelbagai inisiatif dan program seperti bantuan wang tunai one-off untuk pendaftaran IPT di mana pelajar yang layak mengikuti pengajian ijazah akan mendapat RM2,000 dan RM1,500 bagi mereka yang mengikuti pengajian diploma,” katanya.

Sementara itu, mengetuai wakil pelajar UMS ialah Eliezer Nevall Anthony, manakala UiTM pula diwakili oleh Shahirul Azri Aman Shah dan Permasa oleh Mohd Amirul Adanan.

Pertemuan itu diselaraskan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (Ikrar) Jabatan Ketua Menteri.

Terdahulu, Ketua Menteri turut mengadakan pertemuan dengan sayap pelajar atau Friends of Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Bayu Saputra Rizal.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *