Penantian hampir tujuh tahun berbaloi, Rumah Mesra SMJ beri kegembiraan buat penerima

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

MENUMBOK : “Tiada apa yang dapat saya ungkapkan, hanya syukur dan gembira akhirnya saya menerima rumah baharu yang kami nantikan hampir tujuh tahun,” kata Shahlan Wahap.

Shahlan yang tinggal di Kampung Kepayan Skim di sini menerima rumah baharu dibina Kerajaan Negeri menerusi Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang merupakan inisiatif baharu di bawah teras modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Hala Tuju SMJ.

Beliau yang mempunyai tujuh orang anak itu mula memohon bagi mendapatkan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2015 di daerah Beaufort sebelum berpindah ke kampung berkenaan tiga tahun kemudian.

“Pada mulanya saya mendaftar melalui e-Kasih seterusnya memohon PPRT pada 2015 di Beaufort sebelum saya berpindah ke Kuala Penyu tiga tahun kemudian. Pada masa itu permohonan belum mendapat sebarang respon.

“Apabila saya berpindah ke Kuala Penyu, saya usaha lagi untuk memohon pada 2019 dan syukur permohonan diluluskan. Tetapi saya tidak menyangka akan mendapat rumah SMJ ini dan hanya mengetahui ketika ia dibina kerana rekabentuknya berbeza dengan PPRT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media pada majlis penyerahan Rumah Mesra SMJ yang di sempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di sini hari ini.

Shahlan yang bekerja sebagai penoreh getah berharap agar kouta bagi Rumah Mesra SMJ itu akan dapat ditambah pada masa akan datang khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa mengambil berat dan prihatin kepada masalah rakyat khususnya yang kurang berkemampuan,”katanya.

Sementara itu, anak sulungnya, Mohammad Syahmi Afi Shahlan turut gembira dengan bantuan rumah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri menerusi Rumah Mesra SMJ.

Mohammad Syahmi Afi Shahlan

“Ayah saya sebenarnya tidak dapat untuk melakukan kerja berat kerana kakinya dipasang besi selepas kemalangan beberapa tahun lalu namun kerja-kerja yang ringan, beliau masih berupaya untuk kami sekeluarga.

“Saya juga turut bangga dengan kesungguhan ayah yang tidak patah semangat mendapatkan rumah untuk kami sekeluarga meskipun pernah membuat permohonan di Beufort,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *