HomeUtamaKerajaan perkenal pelbagai dasar pastikan hubungan agama, kaum sentiasa utuh dan harmoni

Kerajaan perkenal pelbagai dasar pastikan hubungan agama, kaum sentiasa utuh dan harmoni

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar bagi memastikan hubungan agama dan kaum dalam negara sentiasa utuh dan harmoni selain berupaya memupuk kesepaduan serta kepelbagaian dalam kalangan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, dasar yang diperkenalkan telah berevolusi dari masa ke semasa seiring dengan perubahan masa dan zaman.

Antara dasar perpaduan yang telah diperkenalkan kerajaan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat majmuk ialah dengan pemperkenalkan Rukun Negara pada tahun 1970, Dasar Ekonomi Baharu (DEB) 1971, Dasar Sosial Negara 2003, Dasar Keselamatan Negara 2017, Dasar Komuniti Negara 2019, Dasar Kebudayaan Kebangsaan 2019, dan Dasar Perpaduan Negara pada tahun 2021.

“Mengambil kira faktor agama merupakan antara salah satu faktor yang dapat menggugat keharmonian dan kesepaduan dikalangan masyarakat majmuk sekiranya tidak diuruskan dengan baik, Kerajaan juga telah mengetengahkan dasar dan pendekatan Islam di samping dasar-dasar perpaduan.

“Dasar dan pendekatan agama yang diperkenalkan tersebut adalah bagi mendukung dasar perpaduan di samping memartabatkan Islam sebagai agama bagi persekutuan seiring dengan peruntukkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan dalam masa sama membenarkan agama-agama lain diamalkan di Malaysia dengan aman dan damai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Seminar Kertas Tema Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS kali ke-46 di sini hari ini.

Idris berkata, isu perpaduan dan perdamaian merupakan antara perkara yang menjadi isu kritikal yang sedang diharungi oleh kebanyakan negara.

Katanya, isu sedemikian timbul berpunca daripada fahaman bersifat jumud dan sempit yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang tidak mahu akur dan hormat terhadap kepercayaan orang lain, perasaan, nilai, tradisi, adat istiadat, pemikiran, budaya, maruah dan keselamatan orang lain.

“Pada 22 Ogos 2021, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengagaskan konsep Keluarga Malaysia sebagai inspirasi jangka masa panjang Kerajaan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dan bagi mewujudkan kesepaduan dalam kalangan rakyat yang majmuk agar sentiasa berada dalam suasana aman dan harmoni sebagai sebuah keluarga besar yang dipayungi perlembagaan dan rukun negara.

“Manakala di pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula telah mengambil inisiatif menggerakkan Dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera untuk dilaksanakan di agensi-agensi hal ehwal Islam serta lain-lain agensi bagi mensejahterakan rakyat.

“Usaha ini telah dilaksanakan dalam usaha menyatukan masyarakat yang saling hormat menghormati, prihatin dan bersatu padu membentuk negara yang sejahtera,” katanya.

Sementara itu, Idris berkata, bagi mengekalkan keharmonian, kestabilan dan kemakmuran di negara MABIMS, ancaman keganasan, ekstremisme dan jenayah siber yang semakin meningkat hendaklah diberikan perhatian setara.

Katanya, fenomena ekstremisme boleh berlaku sepanjang masa, secara sedar atau tidak sedar.

“Ekstremisme merujuk kepada suatu fahaman, suatu sikap atau suatu perlakuan yang melampaui batas sehingga melebihi had dan ketentuan yang sewajarnya sama ada daripada perspektif peraturan mahupun daripada perspektif kemanusiaan.

“Sikap dan fahaman yang melampau ini lazimnya di susuli dengan tindakan yang keras dan ganas yang sering menyusahkan masyarakat dan mengancam keselamatan negara.

“Dalam Islam, fahaman ini bukan sahaja menghilangkan nilai kemanusiaan dan akhlak Islamiah bahkan mencemarkan sama sekali imej Islam sebagai agama yang membawa kepada perdamaian,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya