HomeUtamaKes denggi di Sabah meningkat, tiga kematian dilaporkan

Kes denggi di Sabah meningkat, tiga kematian dilaporkan

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak tiga kematian dilaporkan daripada 4,055 kes demam denggi yang dikesan di negeri ini sejak Januari sehingga 24 September lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah kes itu meningkat tahun ini sebanyak 241 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,190 kes.

Katanya, bilangan kes tahun ini juga lebih tinggi iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding jumlah kes sebelum pandemik COVID-19 pada tahun 2020 (3,495 kes) dan peningkatan 4.3 peratus berbanding pada tahun 2019 (3,887 kes).

“Sebanyak lima daerah yang menyumbang bilangan kes penyakit demam denggi tertinggi negeri Sabah ialah daerah Sandakan dengan 1,052 kes (25.9 peratus), Kota Kinabalu 1,024 kes (25.3 peratus), Tawau 342 kes (8.4 peratus), Lahad Datu 299 kes (7.4 peratus) dan Putatan 296 kes (7.3 peratus).

“Bagi wabak denggi pula yang dilaporkan sehingga 24 September lalu adalah sebanyak 387 wabak, berbanding dengan 83 wabak pada tempoh yang sama tahun 2021.

“Daripada 387 wabak denggi pada tempoh sama tahun lalu, sebanyak 318 wabak telah tamat manakala sebanyak 69 wabak lagi masih aktif,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Rose Nani berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan dijalankan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Sebagai contoh katanya, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan, dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak.

“Di samping itu, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri Sabah.

“Sehingga 24 September lalu, sejumlah 340,130 premis telah diperiksa dan 451 kompaun dengan nilai RM 232,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes. Pengkompaunan dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154],” katanya.

Sementara itu, Rose Nani berkata, seluruh lapisan masyarakat perlu bersama-sama melaksanakan tindakan bagi membendung penyakit demam denggi daripada terus merebak dan mengancam kesihatan penduduk di negeri Sabah.

Katanya, ini termasuklah membersihkan kawasan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.

“Selain itu, penduduk juga perlu menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.

“Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan bahan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah terutama apabila berada di luar rumah,” katanya.

Beliau berkata, JKNS menyeru orang ramai untuk bersama-sama mengambil tanggungjawab bagi memastikan persekitaran premis bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes agar kes dan wabak di negeri Sabah terus menurun dan selamat daripada ancaman bahaya demam denggi.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya