HomeUtama80 peratus mangsa gangguan seksual enggan buat laporan

80 peratus mangsa gangguan seksual enggan buat laporan

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Kira-kira 80 peratus individu atau mangsa yang mengalami gangguan seksual tidak membuat laporan atas pelbagai sebab antaranya seperti fobia, malu dan trauma.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan semua mangsa yang terlibat tidak malu atau takut untuk tampil membuat aduan sekali gus memastikan nasib mangsa terbela.

“Malah, berdasarkan soal selidik Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) pada tahun 2019 terhadap 28,852 responden berusia 21 hingga 40 tahun di negara ini, hanya 1,796 atau 6.3 peratus responden akan membuat laporan.

“Manakala majoriti 93.7 peratus memilih tidak membuat laporan. Dalam kajian yang sama, seramai 17,925 responden atau 62 peratus menyatakan undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk mengendalikan kes gangguan seksual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Perburuhan Peringkat Negeri Sabah Siri 3/2022 di sini semalam.

Yakub berkata, Rekod Pusat Tadbir Urus dan Pengajian Politik (CENT-GPS) 2021 pula mencatatkan sebanyak 57 peratus wanita berusia 18 dan 30 tahun mengalami gangguan seksual berbentuk lisan secara kebiasaan.

Katanya, isu gangguan seksual ini juga berlaku di tempat kerja seolah-olah sudah menjadi perkara lumrah.

“Ramai menganggap perbuatan itu sekadar gurauan atau usikan untuk meredakan tekanan akibat bebanan tugas di pejabat atau memang sengaja suka-suka untuk menarik perhatian mangsa.

“Bagi mewujudkan suasana kondusif terutama di tempat kerja, perlakuan berkenaan tidak seharusnya dipandang remeh. Kita yakin perlakuan kecil jika dibiarkan akan bertambah serius kerana si pelaku merasakan mangsa boleh menerima segala tindakannya,” katanya.

Sementara itu, Yakub berkata, perlakuan gangguan seksual menjadi isu penting yang wajar diperjuangkan kerana salah laku jenayah itu mampu meninggalkan kesan mendalam, menjejaskan perkembangan psikologi dan fizikal kepada mangsa.

Katanya, ia sekaligus mengganggu keharmonian pekerjaan dan mencemar kesejahteraa masyarakat.

“Oleh itu, apa-apa sahaja bentuk gangguan seksual sama sekali tidak boleh dinormalisasikan, malah masyarakat sewajarnya tidak boleh bertolak-ansur terhadap sebarang isyarat atau perkataan yang menjurus kepada tindakan keji itu, sekali gus menghentikannya segera.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) mempunyai hasrat murni untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam memenuhi ekspektasi rakyat.

“Kementerian juga akan memastikan pelaksanaan dasar berkaitan pembangunan dan pengurusan sumber manusia dan modal insan negeri ini agar dapat diselaraskan sejajar dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular