HomeIsu tempatanDua bot kargo ditahan, bawa muatan barang kawalan tanpa permit

Dua bot kargo ditahan, bawa muatan barang kawalan tanpa permit

Read Time:1 Minute, 43 Second

TAWAU :  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot kargo tempatan yang membawa muatan barang kawalan tanpa kebenaran dalam dua siri operasi berasingan yang dijalankan di sekitar perairan Tawau minggu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya telah berjaya menahan kedua-dua bot tersebut yang dipercayai bergerak dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Terdahulu, pemeriksaan awal ke atas sebuah bot kargo di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau mendapati seorang lelaki warga Indonesia berusia 33 tahun bertindak selaku juragan dengan membawa muatan barangan runcit.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan lebih 1,680 kilogram gula pasir dan 1,258 kilogram minyak masak paket yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta kebenaran yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barang kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Shahrizan berkata, sebuah lagi bot kargo dengan muatan barang runcit turut ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika Selatan Kampung Titingan.

Katanya, hasil pemeriksaan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut menemui sejumlah 27 unit tong gas liquefied petroleum gas (LPG) yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun bersama seorang pembantu juragan, lelaki warga tempatan berumur 29 tahun itu gagal mengemukakan permit dan kebenaran berkaitan barangan kawalan yang dibawa.

“Kedua-dua bot ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967. Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM100,000,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah(ESSZONE).

Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lapan finalis berentap dalam kategori remaja MTHQ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya