RUU persediaan serah semula kuasa autonomi elektrik Sabah diluluskan di Parlimen

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

BERNAMA

PARLIMEN :- Dewan Rakyat hari ini meluluskan dua rang undang-undang sebagai persediaan penyerahan semula kuasa autonomi dalam pembekalan elektrik kepada kerajaan negeri Sabah.

Dua rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2022.

Kedua-duanya dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan sebelum diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Takiyuddin berkata pindaan terhadap Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 (Akta 725) dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726) itu, selaras dengan komitmen kerajaan menyemak semula pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 berkaitan hak serta kuasa autonomi yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Pindaan terhadap kedua-dua akta itu termasuk memasukkan subseksyen baharu iaitu memberikan menteri kuasa menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan kedua-dua akta di bahagian yang berlainan di Malaysia.

Menurutnya peruntukan undang-undang bagi membolehkan penggantungan pemakaian Akta 725 itu perlu disediakan terlebih dahulu supaya proses penyerahan kuasa untuk pembekalan elektrik termasuk daripada Mekanisma Tarif Galakan (FiT) dapat dilaksanakan dengan teratur tanpa menimbulkan implikasi terhadap aspek perundangan kelak.

Sama seperti Akta 725, menurutnya Akta 726 juga tidak mengandungi peruntukan yang membolehkan pemakaian akta itu digantung di mana-mana bahagian di Malaysia. 

“Dengan wujud klausa penggantungan ini, menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam warta, menggantung penguatkuasaan Akta 726 supaya kuasa kawal selia pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) termasuk pelaksanaan FiT boleh diambil alih oleh kerajaan negeri Sabah. 

“Saya difahamkan bahawa kerajaan negeri Sabah telah menubuhkan Unit Tenaga Negeri Sabah di bawah Jabatan Ketua Menteri untuk melaksanakan tugas perancangan dan kawal selia pembangunan TBB sekiranya proses penyerahan kuasa pembekalan elektrik dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-undang Pencetakan Teks Al-Qur’an (Pindaan) 2022 secara sebulat suara tanpa bahas selepas dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri I Ismail Mohamed Said.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 itu antara lain mencadangkan peningkatan jumlah penalti maksimum kepada RM50,000 daripada RM10,000 sebelum ini, serta menaikkan hukuman maksimum penjara daripada tiga tahun ke lima tahun bagi beberapa kesalahan di bawah rang undang-undang itu.

Antara kesalahan yang memperuntukkan hukuman itu ialah mencetak atau membantu dalam pencetakan atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan sesuatu teks al-Quran tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan Teks Al-Quran (LPPPQ), Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Persidangan bersambung esok.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *