Bajet 2023 : Perkasa, kukuhkan agenda sekuriti makanan negara

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 36 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyambut baik Bajet 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM372.3 bilion dan lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan itu jelas menunjukkan peranan MAFI dalam melaksanakan pelbagai program, projek serta inisiatif strategik dan bersasar bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara sepanjang tempoh pemulihan ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun hadapan.

Secara keseluruhan katanya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.32 bilion kepada MAFI termasuk bagi tujuan perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.78 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.

“Pertambahan sebanyak 10.4 peratus berbanding Bajet 2022 membuktikan keprihatinan Kerajaan dalam memacu sektor agromakanan supaya menjadi sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

“Pelbagai inisiatif baharu dengan mengambil kira aspek pemerkasaan ekonomi, perlindungan sosial dan kemampanan alam sekitar akan dilaksanakan pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Ronald berkata, bagi OE dalam Bajet 2023, MAFI telah menerima keseluruhan RM1.8 bilion di bawah program khusus untuk meneruskan pemberian subsidi dan insentif bagi industri padi dan perikanan untuk tahun 2023.

Katanya, peruntukan yang diluluskan itu meningkat sebanyak RM500 juta berbanding tahun 2022 dimana ia termasuk RM1.62 bilion bagi subsidi benih, baja dan harga padi termasuk subsidi baja padi huma.

Tambahnya, selain itu, insentif hasil tangkapan nelayan juga turut disediakan berjumlah RM178.2 juta.

“Peruntukan ini adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini mengambil kira faktor-faktor seperti jangkaan peningkatan pengeluaran hasil padi sebanyak dua juta tan metrik berikutan pelaksanaan Program SMART SBB melalui pengurusan sawah secara berskala besar.

“Ia termasuk keperluan benih sebanyak 72,000 tan metrik untuk menampung situasi luar jangka akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir, peningkatan harga pasaran bahan mentah dunia akibat kesan pandemik COVID-19 dan konflik geopolitik Rusia-Ukraine dan anggaran kenaikan harga input pertanian seperti baja antara 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, bagi DE, peruntukan yang diluluskan meningkat sebanyak RM2 juta berbanding tahun 2022.

Katanya, ini adalah selaras dengan momentum pelaksanaan projek yang telah memasuki separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan jumlah peruntukan DE sebanyak RM1.54 bilion.

“Secara keseluruhannya, pelbagai projek akan dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah MAFI pada tahun 2023 untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian serta meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pengeluar makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, MAFI sebagai peneraju dalam agenda sekuriti makanan negara akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2023 secara cekap bagi menjamin kelangsungan aktiviti di sepanjang rantaian dan subsektor agromakanan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

Katanya, inisiatif-inisiatif yang telah diumumkan melalui Bajet 2023 juga selari dengan aspirasi Dasar  Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

“MAFI melalui Bajet 2023 akan terus mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan sosioekonomi semua kumpulan sasar termasuk pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha agromakanan.

“Peranan barisan hadapan sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan agenda Bajet 2023 yang responsif, bertanggungjawab dan reformis,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *