UMS beri kelonggaran tangguh pembayaran yuran kepada pelajar baharu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersetuju untuk memberi kelonggaran kepada pelajar baharu yang memerlukan untuk membuat penangguhan pembayaran yuran kepada semester hadapan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, penangguhan itu juga adalah bagi membantu meringankan beban pelajar dan keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selain menghadapi masalah Kewangan.

“Kita faham, masih ramai keluarga yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan kini masih dalam proses penstabilan ekonomi isi rumah.

“Bagi tujuan penangguhan bayaran, mereka boleh memaklumkan kepada Bahagian Kewangan Pelajar UMS dan kemudian mendaftar seterusnya mengikuti pengajian dalam bidang yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan pendaftaran pelajar baharu di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr Kasim berkata, pada pengambilan pelajar baharu kali ini, UMS turut menjadi salah sebuah universiti perintis yang terlibat dalam Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Program ini merupakan hasil cetusan idea Menteri KPT, Dato’ Seri Dr. Noraini Ahmad bagi membantu pelajar khususnya individu pertama dalam keluarga daripada golongan B40 untuk ke menara gading agar kejayaan mereka dapat dijadikan motivasi keluarga dan komuniti setempat.

“Di pihak UMS kita telah menawarkan 10 pelajar melalui program SULUNG ini yang mana setiap mereka turut menerima biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehinggalah mereka mendapat pekerjaan kelak,” katanya.

Sementara itu, Dr Kasim turut mengingatkan para pelajar yang tidak layak mendapat kolej kediaman agar menghubungi terus Bahagian Perumahan atau atau Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mendapatkan khidmat sewaan rumah yang dipercayai.

“Soal isu ‘scammer’ ini memang kita telah mengeluarkan kenyataan seminggu sebelum ini.

“Justeru saya menasihatkan pelajar-pelajar baharu agar tidak berurusan secara atas talian untuk mencari sewa rumah tetapi mereka perlu berhubung dan memohon bantuan HEP untuk membantu mereka mendapatkan rumah kerana kita ingin mengelak daripada berlaku penipuan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *