PRU-15 : Laluan baharu Melalap-Membakut dicadang untuk dibangunkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

TENOM : Beberapa prasarana asas dicadang untuk dibangunkan di kawasan Parlimen Tenom bagi memastikan rakyat di kawasan ini dapat menikmati pembangunan yang lebih baik.

Ketua Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Rubin Balang berkata, ia merupakan visi dan misi pembangunan yang diilhamkan untuk rakyat di Tenom khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap dan Kemabong.

“Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), saya dan rakan-rakan dalam komponen GRS khususnya di DUN Melalap dan Kemabong telah memutuskan selain manifesto induk, kita kita juga mempunyai perancangan pembangunan sendiri untuk rakyat.

“Antara visi dan misi pembangunan kita adalah untuk menarik taraf jalan raya Keningau ke Kuala Tomani dan menarik taraf jalan raya dari Tenom ke Sipitang.

“Selain itu, kita juga merancang untuk membina satu laluan baharu menghubungkan daerah pedalaman iaitu dari Melalap ke Membakut dimana pada ketika ini laluan Keningau ke Kimanis dilihat agak berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS Kawasan Tenom, di sini semalam.

Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang.

Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, cadangan bagi membina laluan baharu itu telah dibincangkan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, pihaknya juga turut memohon kepada Kerajaan untuk menaik taraf jalan-jalan kampung yang belum diturap selain yang masih tanah merah.

“Kita juga mahu Kerajaan menaik taraf bekalan air Kemabong dan Tenom khususnya dimana kita mencadangkan agar sumber air diambil dari Sungai Tolokosan.

“Perkara ini kita akan bincangkan bersama pihak Jabatan Air dan meminta mereka melantik konsultan bagi meneliti perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar Tenom dijadikan sebagai sebahagian kepada hub pengeluaran buah-buahan tempatan di Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *