Golongan muda diseru sertai proses demokrasi, tunaikan tanggungjawab pada PRU-15

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

TELUPID : Pengundi kali pertama khususnya golongan muda diseru agar tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam proses demokrasi dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ini akan dapat memberi peluang kepada golongan muda untuk merasai sendiri proses demokrasi negara dalam memilih kepimpinan negara.

Katanya, golongan muda (pengundi baharu) juga dilihat akan lebih bertanggungjawab untuk mengangkat demokrasi negara secara efisien dan teratur bagi membuang undi pada PRU-15 kali ini.

“Ini dilihat sesuai dengan kehendak Kerajaan untuk memberi peluang kepada anak muda.  Justeru saya menyeru agar mereka keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka untuk turut serta dalam proses demokrasi yang telah diturunkan kepada anak muda berusia 18 tahun.

“Jadi anak muda semua diingatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab ini dan keluar secara beramai-ramai untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU-15 pada 19 November nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Troop183 @ Telupid di Dewan Batu 4 Telupid di sini semalam.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Samad Jambri dan ADUN Telupid Jonnybone J Kurum.

Terdahulu pada majlis itu, Ronald yang juga penyandang kerusi Parlimen Beluran berkata, program yang diadakan itu merupakan aspirasi masa depan anak-anak muda selain dapat merasai semangat yang ditunjukkan untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan.

“Tentu sekali bagi saya program ini merupakan aspirasi golongan muda untuk kita angkat selain mendengar masalah anak-anak muda khususnya di kawasan luar bandar.

“Semua ini perlu kita ambil kira melalui perancangan yang dibuat oleh pelbagai Kementerianyang melihat dan menyentuh kepada aspirasi anak muda,” katanya.

Beliau juga turut bangga dengan semangat yang ditunjukkan dalam memberi sokongan kepada Kerajaan dan sentiasa menghargai usaha yang dilakukan Kerajaan untuk mereka.

Katanya, ianya tidak kira dari segi kemudahan sukan, pembangunan ekonomi dan pelbagai lagi kemudahan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *