PNK Paitan terima bantuan geran bernilai RM50,000

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 24 Second

PAITAN : Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan menerima bantuan geran permulaan bernilai RM50,000 bagi melaksanakan projek-projek ekonomi dan program-program sosio-ekonomi ahli yang berdaftar di PNK berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, penyerahan bantuan itu juga secara tidak langsung dapat membantu PNK Paitan membangunkan masyarakat nelayan di daerah ini.

Katanya, ini juga adalah sejajar dengan hasrat bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan nelayan dan PNK ini merupakan yang ke-15 ditubuhkan pada 12 Mei lalu dan telah mempunyai 62 orang keahlian.

“Dengan penubuhan PNK Paitan ini ianya akan dapat memajukan kepentingan ekonomi dan sosial ahli-ahlinya selain menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat nelayan setempat.

“Tambahan lagi, PNK Paitan akan dapat memberi peluang kepada nelayan-nelayan kita di daerah Paitan khususnya untuk lebih mudah menerima manfaat dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) PNK Paitan kali pertama yang diadakan di Pentas Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan, Beluran di sini semalam.

Ronald berkata, LKIM berperanan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan.

Katanya, pengurusan LKIM pula sentiasa komited untuk memberikan sokongan kepada PNK untuk terus mempelbagaikan pendapatan melalui perniagaan.

“Ahli PNK akan turut menerima manfaat daripada keuntungan hasil dari projek perniagaan yang dilaksanakan oleh PNK.

“Sehubungan itu, Kerajaan melalui LKIM telah mengadakan pelbagai program dan telah memberikan bantuan kepada nelayan di Paitan antaranya pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) RM300, Subsidi Minyak Nelayan Diesel & Petrol (RM1.65 sen/liter), Pinjaman Dana Nelayan, Pembangunan Pasar Nelayan dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Ronald berkata, beberapa aktiviti ekonomi turut dilaksanakan dalam usaha untuk meningkatkan kegiatan tahap sosioekonomi masyarakat nelayan khususnya PNK Paitan.

Antara aktiviti ekonomi yang akan dilaksanakan antaranya, Projek Agropelancongan yang merupakan Pelantar Bagang untuk menangkap ikan bilis dan aktiviti memancing yang dilengkapi dengan kemudahan tempat rehat dan memasak, Projek Pemasaran Ikan dan Hasil Laut (Pusat Pengumpulan, Pengedaran dan Pemasaran Hasil Laut) serta Projek Perkhidmatan Kontrak dan Pembekalan.

Katanya, pelbagai manfaat diperolehi dari segi sosial dan kemudahan sekiranya menjadi ahli persatuan nelayan termasuk pelbagai bantuan seperti bencana alam (bagi yang layak), pinjaman skim untuk nelayan (bagi yang layak) dan caruman PERKESO.

Selain itu tambahnya, perumahan nelayan, Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) fokus untuk membantu anak-anak nelayan untuk belajar, Kumpulan Nelayan Wanita (KUNITA), Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) yang dapat membantu menggalakkan lagi kehidupan sosial yang lebih positif serta banyak kemudahan lain.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan sekuriti makanan negara terjamin,” katanya.

Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 16 buah Persatuan Nelayan termasuk Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) dan 15 lagi Persatuan Nelayan Kawasan dengan keahlian seramai 13,159 nelayan di Negeri Sabah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *