Dua syor untuk individu positif COVID-19 mengundi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 12 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan dua syor untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan individu positif COVID-19 mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata keputusan prosedur operasi standard (SOP) bagi individu positif COVID-19 mengundi akan diumum Isnin ini.

“Syor pertama adalah menyediakan satu laluan dan bilik mengundi khas untuk individu positif COVID-19.

“Satu lagi opsyen adalah pesakit COVID-19 datang ke khemah KKM, kita pastikan mereka ada pelindung dan sebagainya, barulah kita bawa pesakit tersebut ke tempat mengundi. Tak perlu beratur dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara Putrajaya Pink October Fun Walk 2022 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata, individu yang positif COVID-19 namun tidak kritikal, akan dibenarkan mengundi pada PRU15 dengan mematuhi SOP ketat yang akan diumumkan SPR.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November depan.

Mengenai kanser payudara, beliau berkata KKM menetapkan sasaran pengesanan peringkat awal tahap satu dan dua kepada lebih 75 peratus, berbanding 50 peratus ketika ini.

Di negara maju, katanya, saringan kanser payudara tahap satu mencecah lebih 95 peratus.

Untuk itu, Dr Noor Hisham berkata, kempen pengesanan awal kanser payudara akan terus dipergiatkan bagi memberi kesedaran kepada wanita, terutama berusia 50 tahun ke atas dan mereka yang berisiko tinggi. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *