Hajiji serah 210 geran tanah, 12 kampung diwartakan sebagai rizab kampung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KIULU: Sebanyak 210 penduduk menerima geran tanah berjumlah 327 ekar di bawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Anak Negeri Sabah (PANTAS) di sini hari ini.

Hajiji dan Joniston merakamkan gambar kenangan bersama penerima geran tanah dan tetamu jemputan.

Majlis Penyerahan Geran Tanah itu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji turut menyampaikan warta rizab kampung kepada 12 buah kampung, berjumlah 205.6 ekar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN).

Kampung tersebut ialah Kampung Nadau, Bayag, Tiku, Logub, Lingga Baru, Parad, Gonipis Lama, Lingga, Poturidong , Mongkonihab, Tiong Tomburung dan Sukang Baru.

“Kerajaan Negeri menerima kehendak rakyat dan komited mengeluarkan hak milik tanah kepada seberapa ramai penduduk di Sabah kerana ini melibatkan mata pencarian rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Program Pantas telah dilaksanakan sejak 2011 dan diteruskan oleh kerajaan GRS-BN,” katanya semasa berucap pada majlis itu di Dewan Masyarakat Kiulu.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengesahkan akan mengumumkan calon-calon bertanding untuk kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada esok petang 2 November 2022 di Kota Kinabalu.

Hadir sama dalam majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sr Bernard Liew.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *