Operasi stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi ditutup atas faktor keselamatan

Read Time:1 Minute, 25 Second

TENOM : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan berlaku beberapa kejadian tanah runtuh di sepanjang jalan masuk ke Stesen Janakusa Hidro Tenom Pangi di sini.

Kejadian itu turut membawa limpahan air dan bongkahan batu besar yang menimbusi jalan masuk dan ‘gate intake’ akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya terpaksa menutup operasi stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi atas faktor keselamatan.

Katanya, ekoran ketika itu pihaknya masih memeriksa keadaan dan menilai kerosakan. 

“Pelan tindak kecemasan telah diaktifkan dan semua anggota kerja telah selamat dipindahkan tanpa mengalami sebarang kecederaan.  

“Kejadian ini tidak menjejaskan bekalan elektrik kepada Sistem Grid Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kejadian runtuhan tanah di bahagian pagar utama Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi itu turut mengakibatkan enam anggota polis bantuan dan kakitangan terperangkap.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi semalam mengakibatkan semua enam mangsa terperangkap di bilik janakuasa yang terletak di kedudukan lima kilometer dari pagar bangunan utama.

“Tanah runtuh itu bukan saja mengakibatkan laluan masuk ke stesen janakuasa tidak dapat dilalui, malah beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan turut tertimbus.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom terus menjalankan operasi mengesan mangsa dan semua mereka berjaya ditemui pada kedudukan satu kilometer dari pagar bangunan utama,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, semua mangsa berusia 29 hingga 59 tahun terbabit berada dalam keadaan selamat dan mereka terus dibawa ke lokasi selamat untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, pekerja dan orang awam berhampiran juga dinasihat supaya tidak memasuki kawasan tanah runtuh atas faktor keselamatan.

“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 9.30 pagi,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.