Kerajaan GRS-BN luluskan RM5 juta bina bangunan urusetia baharu Pejabat Daerah Kecil Kiulu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Video YUSOF MOHAMAD

KIULU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) telah meluluskan RM5 juta untuk pembinaan bangunan urusetia baharu Pejabat Daerah Kecil Kiulu di atas tapak seluas 2.5 ekar bersebelahan dengan Dewan Masyarakat Kiulu.

Upacara Pecah Tanah Tapak Bangunan Pejabat Daerah Kecil Kiulu disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, selepas beliau menghadiri taklimat pembangunan oleh Penolong Pegawai Daerah, Justin Ginduk.

“Tahniah kepada orang Kiulu kerana Pejabat Daerah Kecil ini adalah sesuatu yang mereka tunggu-tunggu,” kata Hajiji ketika berucap selepas menyempurnakan upacara pecah tanah tersebut di Dewan Masyarakat Kiulu di sini hari ini.

Pada masa ini, pejabat Daerah Kecil Kiulu menggunakan kemudahan di Dewan Masyarakat sebagai urusetianya.

Memandangkan keperluan itu, Ketua Menteri tidak teragak-agak meluluskan pembinaan bangunan baru urusetia Daerah Kecil Kiulu berkenaan.

Katanya, masyarakat di sini tidak perlu lagi ke Pejabat Daerah Tuaran atau Pejabat Daerah Kecil Tamparuli untuk melakukan dokumentasi seperti mendapatkan Pesuruhjaya Sumpah untuk Setem atau menjalankan urusan rasmi kerajaan kerana ini boleh dilakukan di Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

“Begitu juga dari segi projek pembangunan, Pejabat Daerah Kecil Kiulu kini boleh memproses dokumentasi seperti Bil Kuantiti (BQ) dan skop kerja lain,” katanya.

Malah, katanya Pejabat Daerah Kecil Kiulu boleh terus mengemukakan permohonan projek peruntukan kepada badan berkaitan.

“Ini adalah aspirasi kerajaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua rakyat termasuk di Kiulu,” katanya sambil menambah pembinaan pejabat daerah kecil itu juga menjadi bukti Kerajaan Negeri peka dengan keperluan rakyat.

Menurut Hajiji, Kiulu terkenal dengan produk eko-pelancongan dengan 70 pengusaha pelancongan swasta dan komuniti yang berdaftar dengan Persatuan Pelancongan Kiulu.

Katanya, Kiulu juga merupakan pengeluar padi bukit, nanas, getah, koko, lada hitam dan ikan melalui sistem Tagal.

“Kekuatan Kiulu melengkapi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) teras pembangunan Kerajaan Negeri dalam sektor pelancongan dan pertanian untuk memacu pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Pada majlis yang sama, Hajiji juga meluluskan permintaan penduduk kampung Kiulu untuk membina jambatan tinggi (high beam bridge) bagi Nulu – Mantob serta pembinaan dan naik taraf beberapa jalan.

Hadir sama dalam majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Norlijah Danin dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sr Bernard Liew.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *