Ahmad Zahid nafi minta calon Umno sokong dirinya sebagai PM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR — Pengerusi Barisan Nasional yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa calon parti itu yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diminta menandatangani surat menyokong beliau sebagai perdana menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya itu.

“Ia tidak benar,” katanya kepada The Malay Mail ketika ditanya mengenai dakwaan itu.

The Vibes yang memetik sumber dalaman parti sebelum ini melaporkan, Zahid memberi calon Umno watikah pelantikan untuk bertanding pada PRU15 dengan syarat mereka menandatangani surat “perjanjian untuk menyokong presiden”.

Kata sumber itu lagi, perjanjian itu bertujuan memberi mandat kepada Zahid untuk membentuk kerajaan sekiranya BN memenangi PRU15. Zahid juga adalah Pengerusi BN.

Sebelum ini, UMNO kekal menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Di dalam ucapan perasmian Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk tempoh hari , Ahmad Zahid Hamidi turut menafikan dakwaan pembangkang yang beliau akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali mentadbir kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu satu agensi penyelidikan melaporkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkemungkinan mengekalkan kedudukannya selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), menurut tinjauan pendapat terkini.

Ismail Sabri yang memegang jawatan Perdana Menteri selama 14 bulan sehingga pembubaran Parlimen merupakan pilihan utama seramai 19 peratus responden dalam tinjauan dilakukan oleh Ilham Centre.

Menurut Bloomberg.com, tinjauan itu dilakukan dari 1 Ogos sehingga 30 September lalu sebelum Parlimen dibubarkan pada bulan Oktober.

Ketika memegang jawatan itu, Ismail Sabri berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 dan membuka semula sempadan, selain memacu ekonomi berkembang pantas dalam tempoh setahun antara bulan April hingga Jun.

Agenda Pemulihan ekonomi juga merupakan isu paling utama dalam kalangan responden tinjauan tersebut, dengan 44 peratus mengatakan, memulihkan dan meningkatkan ekonomi perlu diberikan penekanan.

Dalam pada itu, kepimpinan Ismail Sabri juga menyalurkan jumlah subsidi yang besar bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Pentadbiran di bawah beliau telah menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM41.7 bilion; subsidi minyak masak paket satu kilogram dan minyak botol sebanyak RM3 bilion dan subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion.

Selain itu bantuan-bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion.

Dan pada lawatan kerjanya di Sabah baru-baru ini beliau berkata satu keputusan besar itu membabitkan Bajet 2023, dibentangkan pada 7 Oktober lalu, yang mempunyai pelbagai kepentingan untuk Sabah, antaranya peruntukan RM6.3 billion bagi projek pembangunan di negeri ini.

Selain itu, katanya, RM180 juta dalam bajet itu diperuntukkan untuk membangunkan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah, yang pada masa ini pada tahap 87.5 peratus siap.

“Bajet dibentang ini belum diaksana. Kuasa membentang semula bajet ini terletak pada tuan puan sekalian. 19 November (hari mengundi) menentukan boleh bentang bajet sama atau tidak.

“Manifesto berbeza berbanding bajet, bajet ini sudah ada kewangan untuk laksanakan, manifesto pula hanya janji,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *