14 buah sekolah di tiga DUN terima Pemberian Khas PIBG laksana program berkaitan sains

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah mengumumkan Pemberian Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebanyak RM28,000 kepada 14 buah sekolah di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, antara kawasan DUN yang terlibat adalah DUN Karambunai; DUN Inanam dan DUN Darau bagi melaksanakan program dan aktiviti berkaitan sains.

“Sukacita saya mengumumkan Pemberian Khas PIBG bagi fasa kedua sebanyak RM2,000 kepada 14 buah sekolah di DUN Karambunai; Inanam dan Darau bagi melaksanakan program dan aktiviti berkaitan sains.

“Pemberian Khas PIBG fasa pertama sebelum ini melibatkan 27 buah sekolah telah disampaikan semasa Majlis Pelancaran Karnival Sains Sabah (KSS) yang lalu dan diharap sumbangan ini akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupanh KSS 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainuddin Aman.

Yakub berkata, KSTI turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran sains yang kondusif dengan menaiktaraf makmal sains.

Selain itu katanya, penubuhan sudut sains di 32 buah sekolah seluruh Sabah pada tahun 2022 turut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM660,000.

Dalam pada itu, Yakub berkata, penganjuran KSS 2022 merupakan salah satu perancangan pembangunan bakat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersepadu yang menjadi platform untuk menyemai pembudayaan dan pengaplikasian Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di peringkat akar umbi.

Katanya, penganjuran program ini turut membuktikan KSTI sentiasa komited dan konsisten dalam mendukung agenda nasional bagi memperkasakan komponen STEM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Pelan Tindakan STEM Nasional 2017-2025 selain daripada termaktub di dalam Pelan Strategik KSTI.

“Generasi muda merupakan pelapis utama yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan berteraskan STI dan berkemahiran tinggi mencukupi untuk memacu pembangunan negara.

“Sudah tentunya ini bersangkut rapat dengan pendidikan STEM yang merupakan asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang diperlukan.

“Fokus utama KSS 2022 adalah melahirkan pelajar berliterasi STEM yang berupaya mengenal pasti, mengaplikasi serta mengintegrasikan konsep atau komponen STEM untuk memahami masalah dan menyelesaikannya secara kreatif dan inovatif melalui pelbagai pengisian program dan aktiviti yang menarik,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *