PRU15 : Joniston ambil pendekatan jumpa rakyat secara bersemuka

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 22 Second

TUARAN : Pendekatan untuk bertemu rakyat secara bersemuka dilihat lebih berkesan selain dapat mendengar sendiri masalah yang dihadapi penduduk agar dapat diberi perhatian sewajarnya.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai berkata, selain bersemuka dengan rakyat, kaedah kempen secara atas talian khususnya media sosial juga perlu diambil perhatian.

“Kita bukan sahaja turun mengadakan perjumpaan dengan pengundi tetapi sudah tentu kita tahu tentang pentingnya media sosial pada masa kini.

“Ramai yang mengatakan bahawa pilihan raya ini peperangan bukan melalui ceramah tapi peperangan ini melalui media sosial.  Kita sedar dan kita begitu agresif juga melalui media sosial tetapi kita juga perlu ‘personal touch’.

“Kita kena turun padang juga pasal kita harus ingat kawan-kawan semua yang hadir dalam majlis perjumpaan ini semua ingat bertemu bertanyakan khabar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi Tomis di sini hari ini.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, media sosial dilihat berperanan dalam membantu kempen pilihan raya khususnya kepada golongan muda Dan pengundi baharu.

“Kita perlu perhebatkan lagi dari segi kempen melalui media sosial.  Kita perkuatkan, tingkatkan lagi serta perjumpaan seperti ini perlu diperhebatkan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Joniston berkata, kerjasama antara parti komponen dalam GRS terus kukuh dalam menggerakan jentera parti bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu berjaya dicapai 

“Kerjasama ini sudah bermula sebelum penamaan calon dan kita sudah mengadakan beberapa perjumpaan untuk memastikan supaya kerjasama itu mantap.

“Selepas sahaja penamaan calon, kita punya gerakan itu sudah begitu teratur sekali sebab semua komponen dalam GRS sama-sama dalam usaha memastikan kemenangan calon GRS. Begitu juga dengan rakan-rakan kita daripada Barisan Nasional (BN),” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *