HomeUtamaKerajaan negeri hargai sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan ekonomi

Kerajaan negeri hargai sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan ekonomi

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menghargai sumbangan masyarakat Cina menerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) dalam membantu pertumbuhan ekonomi negeri, yang turut terjejas akibat pandemik COVID-19, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebagai Ketua Menteri, katanya impian beliau adalah untuk membawa Sabah terus ke hadapan, membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri dan rakyat secara keseluruhannya dan menjayakan sepenuhnya Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“KKCCCI sememangnya memainkan peranan yang sangat penting dalam sektor perniagaan di negeri ini. Bukan hanya dalam perniagaan, malah KKCCCI juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan pendidikan dan kebudayaan Cina.

“Saya berharap dewan ini akan terus menggunakan semua peluang yang ada untuk bersama dalam arus pembangunan perdana agar negeri Sabah juga akan mendapat manfaatnya nanti.

“Selain itu bersama membantu kerajaan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini, termasuk menggalakkan perpaduan, muhibah dan keharmonian dalam
kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-111 KKCCCI di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Alfred Angin.

Sehubungan itu Hajiji meminta KKCCCI dan dewan perniagaan lain di negeri ini untuk memanfaatkan semua peluang yang disediakan kerajaan.

“Hala Tuju SMJ adalah usaha kerajaan untuk membawa pembangunan yang menyeluruh dan pesat bagi negeri Sabah. Saya mahu KKCCCI dan dewan perniagaan lain supaya mengambil peluang dalam hala tuju ini untuk membangunkan ekonomi negeri.

“Menerusi Hala Tuju SMJ, kerajaan negeri bersedia bertindak sebagai pemangkin bagi mewujudkan banyak peluang perdagangan dan pelaburan penting yang akan membantu menjalin hubungan ekonomi antara Sabah dan negara luar.

“Sabah mempunyai banyak sumber, justeru kita akan terus membuka lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam bidang minyak dan gas, pertanian dan ternakan, infrastruktur serta perdagangan,” katanya.

Beliau berkata KKCCCI yang ditubuhkan sejak 111 tahun lalu juga memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan sektor perniagaan, menyebarkan polisi dan maklumat yang berkaitan dengan perdagangan dan industri di samping menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan.

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya