PRU15 : Aminah seorang pemimpin mudah didekati, disegani – Normilah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 17 Second

BEAUFORT : Pemilihan Datuk Siti Aminah Aching sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Beaufort dilihat tepat selain menghargai kepimpinan golongan wanita.

Isteri bekas Ahli Parlimen Beaufort Datin Seri Normilah Siong berkata, daerah ini juga mempunyai ramai pemimpin wanita yang berkaliber serta berkarisma.

“Secara peribadi, saya mengenali beliau (Siti Aminah) dengan lebih dekat, dia seorang pemimpin yang disegani.  Meskipun beliau jarang untuk menonjol di media sosial namun dari segi gerak kerja beliau amat memuaskan.

“Daya kepimpinan beliau juga dapat dilihat melalui Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan juga Ketua Wanita BN Bahagian Beaufort.  Saya nampak beliau turun padang bertemu masyarakat pelbagai agama, bangsa dan budaya,” katanya kepada Sabah Media di sini semalam.

Normilah berkata, meskipun tidak menonjol secara keseluruhan tetapi beliau yakin calon BN Parlimen Beaufort akan dapat membawa suara wanita dan rakyat daerah ini ke peringkat lebih tinggi di Parlimen.

“Saya yakin beliau boleh membawa bukan sahaja dari suara wanita tetapi kepada rakyat Beaufort khususnya. 

“Saya nampak beliau boleh memimpin dan membangunkan Beaufort seterusnya meneruskan kesinambungan pimpinan Alllahyarham Datuk Seri Lajim Ukin sebelum ini,” katanya.

Justeru itu, Normilah menyeru kepada semua pengundi di kawasan Parlimen Beaufort membuat pilihan bijak dalam memilih wakil yang mampu membawa kepada pembangunan daerah ini.

“Saya mohon semua pengundi yang ada agar memberi sokongan padu kepada calon kita menerusi undi pada Sabtu ini.

“Sepanjang tempoh kempen yang saya ikuti, saya telah bertemu dengan semua orang yang pernah memberi sokongan kepada Allahyarham (Datuk Seri Lajim Ukin) dan mereka mahu bersama memberi sokongan kepada Aminah,” katanya. –SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *