Wakil masyarakat Cina diberi peranan penting dalam Kerajaan GRS-BN – Hajiji

Read Time:3 Minute, 9 Second

SANDAKAN: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) menyangkal tuduhan meminggirkan masyarakat Cina berikutan tiada wakil mereka dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri dalam Kabinet Negeri ketika ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun tiada wakil masyarakat Cina dilantik sebagai menteri atau pembantu menteri, namun mereka tetap diberi peranan penting dalam kerajaan menerusi lantikan tertentu.

“Memang hasrat saya mahu melantik pemimpin Cina dalam Kerajaan Negeri sebagai menteri tapi kita pun tahu bahawa dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) yang lalu, tiada satu pun daripada calon kita dalam kalangan kaum Cina yang menang”.

“Tetapi kali ini apabila tiba PRN akan datang, bagilah sokongan kepada pemimpin Cina yang akan jadi calon GRS, kita akan bagi jawatan menteri dan pembantu menteri,” katanya pada Ceramah Perdana Sandakan Ketua Menteri Bersama Rakyat di Dewan Hakka Sandakan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi GRS menjawab tuduhan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet Kerajaan Negeri GRS-BN ketika ini.

Hajjiji menjelaskan, Kerajaan Negeri ada melantik pemimpin Cina dalam jawatan penting Kerajaan Negeri termasuk dua bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Tan Sri Chong Kah Kiat.

Katanya Kah Kiat dilantik sebagai penasihat beliau dalam bidang pelancongan, manakala seorang lagi pesara kerajaan mewakili masyarakat Cina dilantik sebagai penasihat kewangan.

“Walaupun demikian kita lantik juga pemimpin Cina, bekas Ketua Menteri, selain Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Tan Sri Chong Kah Kiat sebagai penasihat saya dalam pelancongan dan seorang pesara Cina dilantik sebagai penasihat kewangan saya.

“Saya tubuh Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan ketuanya serta timbalannya adalah pemimpin masyarakat Cina yang berpengalaman dalam perniagaan dan banyak lagi kita lantik”.

“Tapi Shafie cakap kenapa tidak lantik (Cina). Dia pun tahu pada PRN lalu kita tidak menang dari kawasan Cina, dia sengaja ungkit sentimen perasaan Cina, tapi saya yakin masyarakat Cina bijak dan pandai menilai, tahu kewajaran dan rasional apa juga yang kita lakukan,” katanya.

Hajiji berkata, sentimen seperti itu tidak seharusnya dimainkan dalam politik, semata-mata untuk menarik sokongan kaum Cina.

Jelasnya, apa yang seharusnya diutamakan ketika ini ialah usaha untuk memulihkan ekonomi dan memajukan Sabah untuk manfaat dan kebaikan rakyat keseluruhannya.

“Dalam politik kita tidak boleh main sentimen, sebaliknya yang paling penting ialah kerja kita memulihkan ekonomi dan memajukan negeri. Itu yang penting tapi kalau kita main politik, tidak buat apa-apa seperti pada zaman WARISAN hanya pandai cakap sana sini”.

“Saya mahu tanya Shafie, apa dia sudah buat ketika menjadi Ketua Menteri selama dua tahun dulu. Apa dia buat ketika menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dulu?.

“Kelmarin saya ke Semporna, saya sedih dia (Shafie) cakap kita reset Sabah, tapi sepatutnya reset dulu Semporna itu. Bayangkan kebakaran pada 2015 semasa dia Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang ada kuasa buat rumah bantu mangsa kebakaran, dia tidak dapat lakukan.

“Sehingga menjadi Ketua Menteri dan kerajaannya jatuh, masalah bantuan untuk mangsa kebakaran tidak pernah dia jayakan,” katanya.

Sebaliknya, Hajiji berkata, calon Kerusi Parlimen Semporna itu, apabila bercerita mengenai Sabah cukup pintar, malah mahu menjadi Perdana Menteri (PM) kerana menganggap tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak memadai.

“Apa itu jawatan TPM, PM bah dia bilang. Tapi, tengok diri dulu, bagaimana sokongan kita. Di Sabah pun jadi kerajaan kerana ada orang ikut atau lompat, bukan dapat mandat
rakyat.

“Dia (Shafie) jadi Ketua Menteri bukan atas mandat rakyat, tapi sokongan orang lompat menyokong beliau.

“Ini lain dengan GRS-BN, kita dapat mandat pada PRN lalu, rakyat mengundi kita, sokong kita. Ini kenyataan dan kerana itu kita tubuh kerajaan campuran GRS-BN dan dalam PRU ini juga kita bersama BN,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menyifatkan calon GRS bagi kerusi Parlimen Sandakan, Kapitan Thomas Lau, sebagai seorang yang berkelayakan dan berpengalaman dalam membantu membawa perubahan di Sandakan jika diberi mandat pada PRU15 ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.