Sistem SMS Mahkamah Syariah bantu sampaikan maklumat terus kepada pelanggan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU : Inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah membangunkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Mahkamah Syariah adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mendigitalisasikan perkhidmatan agensi berkenaan.

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sistem itu berfungsi sebagai hebahan dan penyampaian maklumat secara digital selain dapat disampaikan terus kepada pelanggan dengan pantas.

Katanya, ia juga dilihat berkesan dimana ia hanya melalui telefon bimbit tanpa memerlukan rangkaian internet.

“Tahniah diucapkan kerana berjaya membuat inovasi yang baharu demi mencapai penyelesaian kes yang cemerlang.  Saya amat menyokong sepenuhnya untuk sistem SMS Mahkamah Syariah dilaksanakan di negeri ini tanpa ada tentangan dair mana-mana pihak.

“Dengan adanya sistem ini, ia akan dapat menjamin keselesaan pelangan-pelanggan Mahkamah lebih-lebih lagi pihak yang berada di luar bandar dan kesukaran untuk hadir ke Mahkamah hanya untuk mendapatkan tarikh sebutan kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem SMS Mahkamah Syariah Sabah dan Penyerahan Sumbangan Baitulmal Bersama Menteri di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, pihaknya turut berbangga kerana agensi itu juga akan menggunapakai Sistem E-Syariah Versi 3 (ESV3) yang selari dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, sistem itu telah ditambah baik penggunaannya bagi memudahkan segala urusan berkaitan dengan pengurusan pendaftaran kes Mahkamah.

“Saya berharap Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dapat menjadikan sisrtem ESV3 sebagai batu loncatan untuk memastikan pengurusan kes-kes Mahkamah Syariah menjadi lebih mudah dan cepat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius terhadap pembangunan Mahkamah Syariah melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan pelbagai agensi Kerajaan Negeri dalam pembinaan bangunan Mahkamah Syariah di Sabah.

“Sebagai bukti keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan Mahkamah Syariah, selain Kota Kinabalu terdapat beberapa daerah lain yang telah diwartakan kawasan bagi tapak Mahkamah Syariah .

“Antaranya Beaufort; Keningau; Kuala Penyu; Kudat; Lahad Datu; Papar; Sandakan; Sipitang dan Tawau,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *