Waris dua beradik kandung dicari

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 20 Second

KINABATANGAN: Keluarga atau waris dua kanak-kanak perempuan yang merupakan adik beradik kandung dicari bagi membantu urusan penjagaan.

Pelindung Kanak-Kanak dari Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Daerah Kota Kinabatangan Musminah Mustain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan keluarga atau waris dua kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa pengabaian.

Kanak-kanak (gambar) berkenaan dikenali sebagai Nadiera berumur 3 tahun 8 bulan (lahir pada 7 Febuari 2019) dan Daniella berumur 2 tahun 21 hari (lahir pada 11 Oktober 2020).

Musminah berkata, dalam laporan polis bertarikh 19 Julai 2022 yang dibuat oleh pengadu dikenali sebagai Mohd Hilmy Mohd Zain yang merupakan penjaga kanak-kanak, menyatakan bahawa dia (pengadu) menerima kanak-kanak terbabit daripada seorang perempuan dikenali sebagai Puan Ayu yang merupakan bekas jiran pengadu.

“Ibu kandung kanak-kanak yang dikenali sebagai Puan Anna menyerahkan kanak-kanak kepada Puan Ayu kerana tidak dapat memberikan perlindungan dan penjagaan kepada kanak-kanak.

“Namun Puan Ayu juga tidak dapat memberi penjagaan kepada kanak-kanak kerana mempunyai anak kandung yang ramai untuk dijaga.

“Oleh sebab itu, Puan Ayu memberikan kanak-kanak berkenaan kepada pengadu untuk dijaga dan tinggal bersama pengadu. Malah, sehingga kini, ibu kandung kanak-kanak tidak dapat dihubungi oleh Puan Ayu dan pengadu,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta waris tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan kanak-kanak ini.

Kes ini sedang diambil tindakan di bawah Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Musminah di pejabatnya di Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am, Daerah Kota Kinabatangan, Bangunan Urusetia, Aras Bawah WDT 3, Kota Kinabatangan melalui talian 089-561873.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *