PRU15: GPS serah kepada kebijaksanaan Agong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:54 Second

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melantik Perdana Menteri baharu yang akan mengetuai Kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Pejabat Premier Sarawak dalam satu kenyataan pagi tadi berkata, ia susulan kemelut politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia ketika ini.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

GPS menerusi kenyataan itu turut menegaskan bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Terdahulu menurut kenyataan itu, GPS telah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan Kerajaan Malaysia daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *