DUN Sabah : Keperluan tambahbaik, naiktaraf lapangan terbang di Sabah sentiasa dipantau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri sentiasa melaksanakan pemantauan dari masa ke semasa terhadap keperluan penambahbaikan dan penaiktarafan lapangan-lapangan terbang di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) yang dijangka akan dimuktamadkan pada bulan September tahun 2023.

Katanya, berdasarkan hasil kajian ini nanti akan membantu Kerajaan dalam menentukan perancangan masa hadapan bagi lapangan-lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Tawau dengan lebih jelas dan efektif berdasarkan ‘evidence based planning’.

“Pada tahun 2020 semasa merancang program pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Lapangan Terbang Tawau bagi mengenalpasti keperluan jangka panjang Lapangan Terbang Tawau sehingga tahun 2050.

“Berdasarkan kajian ini, MAHB telah mencadangkan supaya Lapangan Terbang Tawau dinaiktaraf daripada 1.5 Juta setahun kepada 2.5 juta penumpang setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Justin Wong (WARISAN-Sri Tanjong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Joniston berkata, penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan negatif terhadap industri penerbangan negara.

Katanya, dalam hubungan ini, syarikat penerbangan dijangka memerlukan tempoh masa sehingga tahun 2025 untuk pulih sepenuhnya dari impak wabak COVID-19, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak tersebut di dalam dan luar negara.

“Pada tahun 2020 dan 2021, jumlah penumpang Lapangan Terbang Tawau telah menunjukkan penurunan ketara iaitu masing-masing mencatatkan sebanyak 0.5 juta dan 0.4 juta penumpang berbanding tahun 2019 yang mencatatkan sebanyak 1.8 juta penumpang.

“Berdasarkan statistik penumpang terkini, kapasiti pengendalian penumpang Lapangan Terbang Tawau pada hari ini masih mampu menampung keperluan permintaan sedia ada,” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *