DUN Sabah : Sebuah syarikat minyak dan gas capai persetujuan bayar CJN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Sebuah syarikat minyak dan gas yang sebelum ini enggan membayar Cukai Jualan Negeri (CJN) telah bersetuju untuk mencapai penyelesaian.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perundingan bersama syarikat berkenaan juga telah dijalankan sebelum ini.

“Ada sebuah syarikat yang masih dalam perundingan, tetapi ia lebih berlegar kepada isu perundangan dan untuk makluman, sukacita saya maklumkan bahawa pada pagi ini kedua pihak telah bersetuju untuk mencapai penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilanti) pada Persidangan Dewan Undangan Negei (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan Assafal P Alian (Warisan-Tungku), Masidi berkata, Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penuh dan perundangan yang ada pada negeri Sabah untuk melaksanakan tuntutan CJN.

“Sebenarnya saya tidak mahu ulang cerita lama kenapa bayaran CJN ini lewat dibayar, kerana saya menganggap mereka ini sebahagian dari rakan kita untuk membangunkan Sabah dengan persetujuan untuk membayar cukai jualan.

“Pada mulanya ada isu perundangan yang dipertikaikan oleh syarikat ini tetapi kita telah memberi pandangan yang sebaliknya.  Alhamdulilah pada akhirnya pihak syarikat telah mengambil jalan menyelesaikan secara baik dan akur dengan tuntutan Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee, Masidi berkata, syarikat Repsol Oil & Gas Ltd dan Sea Hibiscus Sdn Bhd tidak lagi mempunyai hutang cukai jualan negeri.

Ini kerana katanya pada 3 Oktober lalu kedua-dua syarikat telah membayar tunggakan cukai jualan negeri berjumlah RM79.41 juta.

“Ianya adalah terdiri Sea Hibiscus Sdn Bhd sebanyak RM 70.05 juta dan Repsol Oil & Gas Ltd sebanyak RM 9.36 juta,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *