HomeUtamaPenoreh getah di Sabah terima BMT RM600

Penoreh getah di Sabah terima BMT RM600

Read Time:2 Minute, 16 Second

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Penoreh getah di Sabah yang hilang punca pendapatan apabila tiba musim tengkujuh akan menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM600 dengan agihan RM200 sebulan selama tiga bulan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Jeffrey Kitingan semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkenaan dengan apakah rancangan kerajaan untuk memberi bantuan kepada penoreh-penoreh getah di Sabah khususnya di daerah Sipitang yang tidak dapat menoreh getah akibat musim tengkujuh dan kini harga komoditi getah juga semakin rendah.

Jeffrey berkata, kerajaan sangat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh para penoreh getah yang hilang punca pendapatan apabila tibanya musim tengkujuh.

“Justeru itu, sejak tahun 2017 Bantuan Musim Tengkujuh telah diperkenalkan.

“Para penoreh getah akan menerima BMT sebanyak RM600 dengan agihan RM200 sebulan selama tiga bulan yang akan diberikan pada tahun ini pada bulan November, Disember dan Januari 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Keenam Belas sesi pertanyaan untuk jawapan lisan, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Jeffrey turut memaklumkan, pada tahun 2021 melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) telah menerima peruntukan yang diagihkan kepada 86,323 pekebun kecil serta penoreh getah di seluruh negeri Sabah dan ini termasuk seramai 1,853 orang penerima daripada Daerah Sipitang.

Sementara itu, sidang DUN pada Khamis (1 Dis), Jeffrey turut menjawab soalan Dr Yusof berkenaan dengan adakah kerajaan mempunyai peruntukan khas atau perancangan jangka pendek atau panjang untuk menyelesaikan isu sungai yang cetek kerana hakisan yang berlaku di bahagian ulu sungai terutamanya pada musim tengkujuh menyukarkan para nelayan untuk keluar mencari rezeki.

Jeffrey berkata, pihak kementerian beliau melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah menerima peruntukan setiap tahun daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan kerja-kerja kecil melibatkan kerja pengorekan dan penyelenggaraan sungai serta parit di seluruh Sabah.

Bagaimanapun, katanya, jumlah peruntukan itu agak terhad dan kerja-kerja dilaksanakan mengikut keutamaan.

“Masalah hakisan tanah di hulu sungai akibat dari aktiviti pembangunan dan aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian merupakan masalah utama menyebabkan sungai menjadi cetek.

“Keadaan ini memerlukan penyelenggaraan berkala dan dana yang besar untuk mengorek sungai setiap kali sungai tertimbus akibat hakisan tanah,” katanya.

Menurutnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan telah melantik Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) untuk mengurus pengorekan pasir di muara sungai di seluruh Sabah kecuali di Kota Belud yang diselia oleh syarikat Qhazanah Sdn Bhd.

“Di samping itu, pembukaan tanah akan terus dipantau dan dikawal dengan memastikan setiap pembangunan di hulu sungai yang sering dilanda banjir wajib mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan dan juga peraturan Jabatan Tanah dan Ukur mengenai rezab sungai,” tambah Jeffrey.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular