HomeEkonomiKerajaan disaran pertimbangkan untuk mansuh harga siling telur ayam

Kerajaan disaran pertimbangkan untuk mansuh harga siling telur ayam

Read Time:3 Minute, 46 Second

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR: Pada 28 November 2022, Pengarah Urusan Pasaraya Mydin dilaporkan menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan telur ayam di pasaran.

Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang tular di media sosial bahawa isu bekalan telur ayam telah selesai dengan perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini.

Untuk menyelesaikan isu ini, beliau menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk memansuhkan harga siling telur ayam kerana menurut pengeluar telur ayam, kos pengeluaran adalah lebih tinggi dari harga siling yang ditetapkan.

Selain, menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan untuk menghalang ekspot telur ayam ke Singapura dan Hong Kong, sekiranya harga siling telur ayam tidak dimansuhkan.

Beliau juga turut menyatakan bahawa kerajaan sedang kesuntukan masa untuk menyelesaikan isu bekalan telur ayam ini memandangkan beberapa perayaan besar bakal di sambut dalam masa enam bulan akan datang, iaitu – Krismas pada Disember 2022, Tahun Baru Cina pada Januari 2023 serta Hari Raya Aidilfitri pada April 2023.

Penganalisis ekonomi Wan Azrain Adnan berkata, isu bekalan telur ayam ini sudah berlanjutan agak lama tanpa penyelesaian yang menyakinkan kepada pengeluar dan pengguna.

Katanya, sejak awal Oktober 2022, dalam masa satu bulan, kerajaan telah menaikkan subsidi telur ayam sebanyak dua kali, dari 3 sen sebiji kepada 8 sen sebiji kepada 10 sen sebiji bagi telur ayam gred A, B dan C.

“Namun begitu, bekalan telur ayam masih tidak mencukupi di pasaran. Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Jihad Menentang Inflasi, pernah di lapor menyatakan bahawa purata kos pengeluaran telur ayam ialah 51 sen sebiji. Ini bermakna, dengan kadar subsidi terbaru sebanyak 10 sen sebiji, kos pengeluaran telur ayam yang di tanggung oleh penternak ialah sebanyak 41 sen sebiji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azrain, ketika ini, harga siling telur ayam ialah: Gred A – RM 0.45/biji, Gred B – RM 0.43/biji dan Gred C – 0.41/biji. Walaupun subsidi telah di naikkan, ianya masih belum dapat menggalakkan pengeluar telur ayam untuk meningkatkan bekalan telur ayam di pasaran kerana harga siling telur ayam tidak memberikan pulangan yang menarik.

“Ini membuktikan bahawa tindakan yang di ambil oleh kerajaan masih belum berjaya untuk menangani isu bekalan telur ayam tersebut. Ini mungkin besar berpunca dari kegagalan kerajaan untuk mendengar dan mengambil kira keluhan serta cadangan pengeluar telur ayam.

“Isu ini wajar menjadi peringatan kepada kerajaan agar senantiasa melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam membuat keputusan, polisi dan dasar,” tegasnya.

Beliau berkata, secara am-nya, kerajaan di lihat mempunyai beberapa pilihan untuk menstabilkan bekalan telur ayam. Ini termasuklah – menaikkan subsidi kepada pengeluar telur ayam, menaikkan harga siling telur ayam, mengapungkan harga telur ayam mengikut kuasa pasaran dan menghalang ekspot telur ayam.

“Sudah pasti setiap pilihan tersebut mempunyai kebaikan dan keburukannya. Setiap pilihan tersebut wajar di teliti secara terperinci oleh kerajaan untuk menyediakan situasi yang dapat mengimbangi antara kemampuan pengguna untuk membeli (affordability) dan kemampuan pengeluar untuk membekal (availability).

“Sebagai contoh dengan tidak menaikkan harga siling telur ayam, pengguna akan dapat membeli telur ayam pada harga berpatutan. Tetapi kerajaan perlu menaikkan subsidi kepada pengeluar telur ayam untuk memastikan bekalan telur ayam mencukupi di pasaran.

“Pembayaran subsidi kepada pengeluar telur ayam ‘di biayai’ oleh duit cukai rakyat. Ini bermakna akhirnya rakyat juga yang rugi dengan menampung jumlah subsidi yang besar,” tambahnya.

Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Jihad Menentang Inflasi, kos subsidi ayam dan telur ayam di jangka berjumlah sebanyak RM 600 juta, untuk tiga bulan dari Oktober hingga Disember 2022. Sebarang kenaikan subsidi sudah pasti akan memberi tekanan kepada kewangan negara.

Justeru itu, tambah Wan Azrain, kerajaan wajar meneliti cadangan pemansuhan harga siling telur ayam. Selain dari Pengarah Urusan Mydin, pengeluar telur ayam telah dahulu mencadangkan agar harga telur ayam di apungkan mengikut kuasa pasaran.

“Menurut Timbalan Presiden Federation of Livestock Farmers Associations of Malaysia, isu bekalan telur ayam tidak akan bertambah baik sekiranya harga telur ayam masih di kawal oleh Kerajaan Malaysia, dan tidak di apungkan mengikut kuasa pasaran.

“Ini menunjukkan pengeluar telur ayam tidak menuntut lebih subsidi.

“Kerajaan wajar bertindak segera kerana sebarang jalan penyelesaian di jangka mengambil masa yang lama untuk memberi kesan. Mengikut maklumat industri, ianya mengambil masa lebih kurang 28 minggu (7 bulan) untuk menghasilkan telur ayam. Ini bermakna sebarang tindakan yang di ambil oleh pengeluar telur ayam akan mengambil masa yang lama untuk memberi hasil.

“Oleh yang demikian, kerajaan wajar meneliti isu bekalan telur ayam ini dengan mengambil pendekatan jangka masa panjang. Ini akan dapat memastikan bekalan sumber protein utama rakyat Malaysia ini terus stabil dan pada harga mampu-beli oleh pengguna. Kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia diutamakan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya