Peti sejuk mayat Hospital Kota Marudu rosak – ADUN Bandau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda merayu kepada pihak berwajib untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan di Hospital Kota Marudu.

Selain menaik taraf kemudahan peralatan lain, Wetrom turut kesal dengan kejadian kerosakan peti sejuk mayat di hospital berkenaan yang menyebabkan mayat terpaksa dipindahkan ke Pitas.

“Ini tidak sepatutnya berlaku dan pihak-pihak berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar mengambil serius masalah yang berlaku.

“Kita merayu pihak bertanggungjawab mengkaji isu yang berbangkit kerana telah menyusahkan keluarga si mati. Semua ini berlaku kerana tiada usaha untuk menaik taraf kemudahan yang ada sejak sekian lama itu.

“Malah, kita meminta KKM menaik taraf kemudahan-kemudahan peralatan lain demi menyelamatkan nyawa dan menjaga kesihatan penduduk setempat yang semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah bangunan Hospital Kota Marudu, peralatan untuk kegunaan pesakit seperti bekalan oksigen dan peti sejuk mayat yang telah rosak ketika ini.

“Saya ingin merujuk mengenai Hospital Kota Marudu yang bukan saja perlu dinaik taraf kerana bangunannya yang uzur tetapi juga keperluan untuk membaiki semua peralatan kritikal untuk kegunaan pesakit di daerah ini yang perlu dilaksanakan segera.

“Ini amat penting kerana ia melibatkan nyawa rakyat yang memerlukan rawatan segera dan peralatan hospital ada yang telah rosak. Selain itu terdapat juga kekurangan bekalan perubatan seperti bekalan oksigen.

“Apabila berlaku kemalangan dan saya difahamkan mangsa telah tiba di hospital, namun selepas 40 minit baru menerima oksigen sehingga menyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan jika ada oksigen dibekalkan dengan awal mungkin nyawa boleh diselamatkan,” katanya ketika berucap bagi membahaskan Bajet Sabah 2023, di sini.

Selain itu, katanya, doktor pakar juga harus ditempatkan di Hospital Kota Marudu bagi memudahkan pesakit mendapat rawatan selain perlu ditambah kenderaan ambulans untuk kegunaan pihak hospital.

“Kita di Kota Marudu tiada doktor pakar, yang ada hanya doktor yang baharu ataupun masih praktikal.

“Begitu juga mengenai kenderaan ambulans yang amat kritikal. Bayangkan jika ada kecemasan serentak bukan saja kemalangan tetapi dalam masa yang sama perlu menghantar pesakit ke Kota Kinabalu dan ini akan mengakibatkan nyawa rakyat di Kota Marudu terancam,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *