HomeUtamaBeri masa dan ruang untuk kerajaan membuat kerja - Rahman Dahlan

Beri masa dan ruang untuk kerajaan membuat kerja – Rahman Dahlan

Read Time:2 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Keadaan ekonomi negara yang tidak stabil perlu diperbetulkan, hubungan antara kaum yang semakin meruncing perlu diredakan, suhu politik yang tinggi sejak beberapa tahun ini perlu diturunkan dan hubungan antara semua pemimpin dan pengikut yang agak tegang perlu dikendurkan segera, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya semalam, Abdul Rahman berkata, jemaah menteri yang baru diumumkan dan beliau mahu supaya kita memberi masa dan ruang untuk kerajaan itu membuat kerja.

“Jemaah menteri telah diumumkan
seperti biasa ramai yang memberi komen, telahan, sindiran, kritikan dan tidak kurang yang bersimpati, memahami dan merasai tekanan dan situasi yang menyelubungi keputusan PRU15 sehinggakan sebuah kerajaan perpaduan terpaksa diwujudkan.

“Kita bagilah masa dan ruang untuk kerajaan ini membuat kerja dan mari kita bersama pantau prestasi mereka. Cabaran yang bakal mendatang ini bukan calang-calang kesannya kepada negara dan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sekarang masa untuk melihat ke depan kerana terlalu besar risikonya untuk kita terus berbalah kerana masa depan negara dan rakyat yang menjadi pertaruhan.

“Kita boleh saja terus berpolemik dan berdebat, berbahas 24 jam mengenai politik. Dan dalam suasana politik negara yang kucar kacir sekarang ini, saya kira akan ada juga hujah dari semua pihak yang akan betul.

“Tapi apa pilihan kita sekarang ini? Mahu berbahas dari siang sampai ke subuh atau kita tidurkan mata dan rehatkan badan kita secukupnya supaya esok boleh bangun dengan minda cergas dan bertenaga untuk mencari jalan penyelesaian kepada semua masalah yang berdepan dengan kita.

“Siapapun jadi PM dan apapun konfigurasi jemaah menteri baik dari PH, PN, BN, GPS, GRS, Warisan dan yang lain, akan mengundang kritikan dan polemik yang tidak kesudahan,” ujarnya.

Beliau turut prihatin kepada keadaan rakyat sekiranya mereka terus memikirkan soal politik sehingga lupa akan tanggungjawab dan meneruskan kehidupan sebenar.

“Mereka kadang-kadang lupa…. Esok anak bini nak makan apa? Minggu depan ada kerja lagi tak? Bulan depan syarikat masih boleh berniaga tak atau nak tutup? Tahun depan, kerajaan kena kurangkan subsidi tak? Berapa lama kita boleh bertahan sebelum kena jual harta dan rumah untuk menyara kehidupan keluarga?

“Ini semua persoalan ngeri yang saya harap tidak akan terjadi. Dan cara mengelaknya ialah dengan kita kurangkan berpolitik buat sementara waktu. Bagilah ruang kerajaan bernafas untuk mencari jalan terbaik menangani isu-isu kritikal negara.

“Percayalah kalau kita masih tidak mahu “stand down” atau “berehat” dari berpolitik sepanjang masa, mimpi ngeri itu akan menjadi kenyataan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pantau projek pemasangan menara telekomunikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular