Kesejahteraan psikologi orang kurang upaya tanggungjawab bersama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 24 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Seksyen 2 Akta OKU 2008, menyebut OKU ialah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang.

Seperti kekurangan fizikal, mental, intelektual atau deria di mana apabila berinteraksi terdapat pelbagai halangan yang boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat pula, OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Telah direkodkan bahawa jumlah OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 31 Ogos 2022 ialah seramai 619,273orang (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2018).

Kajian mendapati bahawa Nilai Indeks Kebahagiaan OKU-F Malaysia adalah 65.79%. Berdasarkan peratus ini, tahap kebahagiaan OKU berada pada tahap sederhana.

Antara cabaran yang dihadapi oleh OKU ialah prasangka, diskriminasi, dan stereotaip. Sebagai OKU, melarikan diri dari fenomena ini adalah sesuatu yang mustahil dan membuat OKU tidak bahagia. Ketidakbahagiaan merupakan konsep yang mengancam kesihatan dan kualiti hidup individu OKU.

Hal ini dinyatakan oleh Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, Pensyarah dari Fakulti Psikologi Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah.

“Kebahagiaan tidak seharusnya disamakan dengan ketidakhadiran atau ketiadaan ketidakupayaan ataupun ketidakupayaan kronik tidak boleh disalahtafsirkan sebagai penyakit tetap atau kehilangan. Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) memerlukan aspek kebahagiaan dan kepuasan hidup seperti orang lain.

“OKU-Fizikal memerlukan empat aspek untuk mencapai kebahagiaan subjektif iaitu kerohanian, emosi positif, efikasi kendiri dan kepuasan terhadap akses.” Tambah Dr. Muhammad Idris.

Setiap manusia layak memiliki kebahagiaan. Namun untuk mengecapi kebahagiaan, ada harga yang perlu dibayar. Orang Kurang Upaya sebahagian daripada masyarakat dan tidak seharusnya kehadiran mereka dalam masyarakat diperlekehkan.

Seperti bukan OKU, golongan ini juga ingin mengecapi kebahagiaan. Umum mengetahui bahawa golongan ini mengalami kekurangan, namun bukan bererti bahawa mereka tidak berhak untuk bahagia.

Malah, kebahagiaan yang mereka impikan tidak terjangkau oleh akal fikiran kita. Dengan semangat yang jitu, mereka tidak berputus asa agar dapat memperoleh apa yang mereka impikan.

Kebajikan OKU di UMS merupakan salah satu daripada keutamaan universiti ini. Ini dapat disaksikan dengan penubuhan Pusat Pengurusan OKU, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UMS.

Menurut Pengarahnya, Dr. Zaiton Mohamad (K.B.P.A.), UMS telah menyediakan tempat kediaman mesra OKU untuk mahasiswa dan mahasiswi di Kolej Kediaman Tun Fuad, UMS.

Selain itu, kemudahan peralatan sokongan seperti peralatan percetakan, brailler, peralatan pandang dengar, mesin pejabat seperti talking scientific calculator, dan perisian jaws screen reader turut melengkapkan keperluan para pelajar ini.

Peralatan sokongan seperti kerusi roda, tongkat kaki 4, tongkat sikut dan tongkat ketiak turut disediakan untuk kemudahan pergerakan setempat.

Bagi pergerakan di luar kolej kediaman, van khas OKU disediakan. Selain itu juga, pengurangan 50 peratus yuran pengajian serta kad diskaun siswa OKU turut diperkenalkan yang telah menyuntik semangat mereka untuk belajar dengan lebih baik.

Dalam pada itu Profesor Madya Dr Raman Noordin, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni UMS menyatakan bahawa hal-hal kebajikan mahasiswa mahasiswi di UMS sangat diambil berat oleh pihak pengurusan di mana terdapat polisi dan tatacara piawaian PdP siswa OKU digunakan dalam memberikan mereka keadilan bersaing secara sihat dengan mahasiswa mahasiswi yang lain.

Dasar inklusif OKU UMS juga telah digubal dan diguna pakai dalam menjaga kemashlahatan mereka.Masyarakat yang prihatin dan sentiasa positif dengan kehadiran OKU juga sangat penting dalam sesebuah negara.

Kewujudan golongan ini tidak harus dinafikan malah kehadiran mereka perlu diraikan.

Sikap negatif, prejudis dan stereotaip yang mengundang kebencian terhadap golongan OKU perlu dilenyapkan dalam kotak fikiran masyarakat dengan mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat dan pengetahuan yang mendalam tentang golongan OKU.

Profesor Datuk Dr Kasim Mansor, Naib Canselor UMS, ketika diminta mengulas mengenai OKU di kampus menyatakan bahawa Golongan OKU ini perlu dilihat sebagai anugerah Allah SWT yang hadir dalam sesebuah masyarakat itu sebagai ujian kepada mereka yang sempurna.

“Allah SWT sebenarnya menguji kita bagaimana kita selaku anggota masyarakat yang majoriti menjaga dan memelihara kumpulan OKU ini yang sifatnya lebih sempurna dari kita bila berdiri di hadapan Allah SWT di akhirat kelak.”

Oleh itu, anggota masyarakat baik di kampus atau di mana sahaja perlu sedar akan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini dalam memastikan OKU dibela sewajarnya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *