19 PATI ditahan dalam Ops Bersepadu di Lahad Datu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

LAHAD DATU : Seramai 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu yang diketuai oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di sekitar daerah ini.

Operasi yang dijalankan selama enam hari berakhir semalam itu turut melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa.

Antaranya polis: Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Pejabat Kesihatan Daerah; Jabatan Sukarelawan Malaysia; Jabatan Kebajikan Masyarakat; Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Majlis Daerah dan Sabah Electricity Sdn.Bhd. 

Komander ESSCOM Deputi Komisioner, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pelaksanaan operasi bersepadu itu adalah bagi menguatkuasakan undang-undang.

Di samping itu katanya, operasi itu juga adalah bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan PATI yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).

“Sepanjang tempoh operasi, sejumlah 1,331 pemeriksaan fizikal terhadap orang, 205 kenderaan serta 486 rumah dan premis telah dilaksanakan. 

“Daripada jumlah tersebut, seramai 19 PATI ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 26 keping saman trafik dan lima saman JPJ dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Jumlah nilai rampasan Operasi Bersepadu adalah sebanyak RM2,002 yang terdiri daripada rokok seludup pelbagai jenama menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, sebanyak 14 kompaun Majlis Daerah turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen perdagangan dan pengendalian makanan selain tindakan pemotongan penyambungan wayar elektrik haram di Kampung Panji.

Katanya,  pihaknya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang terlibat khususnya para pegawai dan anggota yang menjayakan operasi.

“ESSCOM juga akan mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *