Tongod bakal jadi pengeluar daging khinzir terpenting di rantau Asia Pasifik

Read Time:1 Minute, 18 Second

TONGOD: Daerah Tongod bakal menjadi pengeluar utama produk daging khinzir yang terpenting di rantau Asia Pasifik sebaik sahaja projek ternakan khinzir seluas 500 ekar dibina di Kampung Entilibon di sini bermula pertengahan tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sebuah syarikat tempatan telahpun bersetuju menjalinkan perjanjian usahasama dengan Kerajaan Negeri berhubung pelaburan projek bernilai lebih RM200 juta itu.

” Operasi projek veteriner itu menggunakan sepenuhnya teknologi moden daripada negara Denmark, ” katanya selepas merasmikan majlis dialog bersama penduduk terlibat di Dewan Terbuka Entilibon kelmarin.

Katanya, industri penternakan itu kemudianya akan dibina dengan kilang pemprosesan dan pembungkusan daging khinzir bermutu tinggi untuk pasaran dalam dan luar negara bagi rasa kedua.

Jelasnya, pemilik tanah yang terlibat dengan projek itu telahpun selesai diberi pampasan selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan syarikat pemaju selama 50 tahun.

Masiung berkata, bagi fasa pertama projek ternakan khinzir ini akan mengambil masa dua tahun merangkumi kawasan 200 ekar, manakala selebihnya 300 ekar akan dilaksanakan dalam fasa seterusnya.

Beliau berpuas hati, syarikat pemaju projek itu juga turut bersetuju mengambil pekerja tempatan di kalangan penduduk daerah Tongod sambil memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera menjalankan kerja-kerja bersekala kecil dan sederhana.

Kewujudan industri veteriner itu mampu mewujudkan lebih 1000 peluang pekerjaan dan ia juga dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau mengingatkan syarikat pemaju supaya memberi keutamaan kepada warga Kuamut untuk bekerja di syarikat tersebut.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sabah, Dr Jamaun Angkop, Penolong Pegawai Daerah Tongod, Floren Sian Padasan dan Pengarah Urusan Tongod Farm Sdn Bhd, Datuk Vencent Tan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.