Pemeriksaan imigresen pandu lalu sepenuhnya di Terminal Feri Labuan lancar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 49 Second

BERNAMA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

LABUAN: Pemeriksaan imigresen secara pandu lalu sepenuhnya di terminal feri ro-ro (roll on-roll off) di sini berjalan lancar, dan rata-rata pengembara yang ingin ke tanah besar Sabah berpuas hati dengan proses itu.

Menerusi kaedah baharu itu yang dilancarkan semalam, pemandu dan penumpang tidak perlu keluar dari kenderaan, hanya menunjukkan dokumen perjalanan (kad pengenalan) mereka kepada petugas imigresen di kios pandu lalu untuk pengesahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata konsep pemeriksaan secara pandu lalu itu akan memberikan perkhidmatan yang selesa kepada pengembara terutamanya warga emas, wanita hamil, dan mereka yang membawa anak kecil dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kami menjangkakan rungutan orang ramai apabila memperkenalkan dasar baharu terhadap semakan dokumen perjalanan.

“Justeru, kami akan memastikan pemeriksaan ini tidak membebankan orang ramai sebaliknya memudahkan proses untuk aliran trafik ke feri yang lancar,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata kaedah pandu lalu itu diperkenalkan selepas orang ramai mengkritik proses pemeriksaan imigresen di terminal feri itu yang dilaksanakan bermula 1 Nov lepas, dikatakan menyukarkan pengembara yang terpaksa beratur panjang untuk pelepasan.

Rithuan juga sekali lagi mengingatkan pengembara untuk menyediakan dokumen perjalanan mereka lebih awal sebelum menghampiri kios imigresen di terminal supaya proses aliran keluar pengembara ke feri lebih lancar.

Sementara itu, Mohd Ismail Said, 47, yang ditemui di terminal berkata pandu lalu ialah kaedah terbaik dan berharap konsep itu turut dilaksanakan di terminal feri Menumbok bagi mengelakkan pengguna beratur panjang dan lama.

“Kaedah ini memudahkan saya dan ahli keluarga, kami hanya duduk di dalam kereta dan menunjukkan kad pengenalan kepada kakitangan imigresen di kios dan kurang dari tiga minit semuanya selesai,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri pada 10 Sept lepas mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menguatkuasakan kawalan lebih ketat di dua terminal feri Labuan terutamanya untuk pengembara bukan dari Sabah yang menuju ke tanah besar Sabah.

Kawalan ketat itu diperlukan bagi memastikan tiada aliran bebas pengembara di pintu utama terminal feri ke tanah besar Sabah melalui jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok dan Jesselton.

Pemeriksaan imigresen lebih ketat di terminal itu adalah atas permintaan kerajaan Sabah kerana terdapat dakwaan mengenai penyalahgunaan dasar aliran bebas di terminal berkenaan yang menyebabkan jumlah kemasukan ke Sabah tidak terkawal. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *