Baru pulih pembedahan jantung, kayuhan ‘The Pocket Rocketman’ lepasi jangkauan di TCL

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

BERNAMA

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja menjadi pelumba paling gembira bersaing dalam Liga Juara-Juara Trek (TCL) UCI, pelumba berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mempamerkan prestasi melepasi jangkauan jurulatihnya, John Beasley.

Beasley mengakui beliau kagum dengan kayuhan yang diperagakan Azizulhasni walaupun beliau baru sahaja menjalani pembedahan jantung pada April lepas.

“Lebih baik daripada jangkaan, saya secara peribadi menjangkakan Azizulhasni akan menduduki kelompok terbawah memandangkan kejohanan ini membariskan 18 pelumba pecut terbaik dunia.

“Jadi untuk berada dalam kelompok 10 terbaik adalah sangat istimewa lebih-lebih lagi dengan latihan terhad dijalani selain ini merupakan perlumbaan kompetitif pertama selepas beraksi dalam acara final keirin lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

‘The Pocket Rocketman’ menamatkan kempen dalam TCL di kedudukan kelapan secara keseluruhan dengan mengutip 60 mata manakala pelumba Australia, Matthew Richardson dimahkotakan sebagai juara dengan 183 mata dalam kategori pecut lelaki.

Pelumba berusia 34 tahun itu turut beraksi pada peringkat akhir acara kegemarannya iaitu keirin dengan menduduki tempat kelima dalam pusingan akhir TCL yang berlangsung di hadapan lebih 5,500 peminat di venue Sukan Olimpik 2012 iaitu di Lee Valley VeloPark, London, Sabtu lepas.

Menyifatkan Azizulhasni sebagai atlet yang luar biasa selain sering dahagakan aksi di trek, Beasley berkata beliau terpegun dengan anak buahnya yang ‘sering tersenyum’ sepanjang kejohanan lima pusingan bermula di Mallorca, Sepanyol pada 12 Nov.

Pada masa sama, Beasley berkata pihaknya tidak akan terburu-buru dalam membantu bekas juara keirin lelaki dunia itu kembali ke prestasi terbaiknya.

“Jadi sekarang adalah masa untuk menguruskan beliau, kami perlu teruskan program tanpa menjejaskan kesihatan dan memastikan beliau tidak banyak melakukan aktiviti berlebihan dengan cepat kerana kami mahu pastikan beliau benar-benar cergas dan bebas daripada kecederaan,” katanya.

Selain kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024, Beasley berkata Azizulhasni dijangka beraksi pada Kejohanan Asia di Malaysia pada Jun depan selain Sukan Asia di Hangzhou, China mulai 23 Sept – 8 Okt 2023. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *