Kerjasama strategik KePKAS, MOTAC beri impak besar industri pelancongan Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR : Kerajaan Sabah yakin kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan dapat memberi impak besar kepada industri pelancongan khususnya di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin berkata, ia termasuklah pembangunan seni kebudayaan di negeri itu.

Katanya, dalam memastikan penggiat industri pelancongan terus berdaya saing, pihaknya akan memohon bantuan atau insentif kerajaan menerusi MOTAC.

Tambahnya, ia adalah bagi membantu dari segi promosi dan pemasaran produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang ada di Sabah.

“Trend pelancongan masa kini sama ada tempatan atau asing dilihat lebih memilih produk serta destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

“Kita lihat trend pelancongan kita sudah berbeza, kini lebih ramai yang pergi ke tempat seperti ini dan mereka mahu melihat alam semulajadi yang cantik sekaligus merasai kehidupan serta budaya masyarakat di sesebuah tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang baharu Dato Sri Tiong King Sing di Pejabat MOTAC ibu negara di sini hari ini.

Menerusi pertemuan itu, antara yang dibincangkan termasuklah isu pembaharuan lesen bas persiaran dan kenderaan sewa pandu (BPKSP) yang dihadapi oleh pengusaha pelancongan di Sabah.

King Sing menjelaskan pihaknya memandang serius berhubung perkara yang melibatkan pengoperasian sektor pelancongan.

Beliau turut komited untuk menyelesaikan isu terbabit secara tuntas bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memulihkan sepenuhnya industri pelancongan negara mampu dicapai dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Jafry turut menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat King Sing dalam membantu pengusaha pelancongan menaik taraf kualiti infrastruktur sedia ada bagi memberi keselesaan kepada pelancong. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *