Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Pekebun kecil getah dan kelapa sawit khususnya di Sabah yang kini berdepan harga pasaran yang rendah bagi kedua-dua komoditi itu akan dibela sewajarnya.
Ahli Parlimen Beaufort Datuk Siti Aminah Aching yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi mahu melihat nasib pekebun kecil dibela sebaiknya.
“Secara kebetulan, kementerian ini berhubung kait dengan para pekebun kecil dan sudah pasti saya akan perjuangkan masalah yang dihadapi mereka terutama dari segi harga pasaran yang dilihat rendah dan perlu dinaikkan mengikut kepada pasaran yang betul.
“Industri getah dan kelapa sawit akan saya beri perhatian dan perjuangkan agar taraf kehidupan pekebun kecil berada pada tahap terbaik,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini malam ini.
Ketika ditanya mengenai pelantikan jawatan Timbalan Menteri itu, Aminah berkata, ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaiknya.
“Secara peribadi, tugas ini memang berat kerana saya belum pernah memegang portfolio seumpama ini namun kita harus belajar dan apa pun cabaran, tanggungjawab dan amanah yang diberi perlu digalas dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Siti Aminah antara tujuh Ahli Parlimen dari Sabah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam Kabinet Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – SABAH MEDIA/EAW