KTYS jalin kerjasama rasmi dengan Yayasan Ikhlas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 10 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) secara rasminya melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam melaksanakan aktiviti–aktiviti dan program-program yang menyokong kepada pembangunan modal insan dan sekaligus meningkatkan kesejahteraan komuniti sejagat bersama Yayasan Ikhlas.

Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki berkata, beliau tertarik bekerjasama dengan Yayasan Ikhlas kerana salah satu daripada aktiviti utama mereka ialah dalam bidang pendidikan disamping kemanusiaan dan juga bencana.

“kita bekerjasama dengan Yayasan Ikhlas supaya pelajar-pelajar kita di KTYS ini terlibat dengan aktiviti kesukarelawan dan kemanusiaan, kita bersetuju untuk menyertai misi-misi Yayasan Ikhlas di seluruh Sabah khususnya dengan tenaga-tenaga pengajar yang kita ada dan kursus-kursus yang bersesuaian.

“Jalinan kerjasama bersama Yayasan Ikhlas ini membuktikan bahawa Yayasan Ikhlas dan KTYS mempunyai misi yang serupa iaitu komited mendekati masyarakat dan prihatin serta peduli dalam menyediakan keperluan, membantu meringankan kesulitan serta membantu Kerajaan Negeri dalam usaha membangunkan kebajikan dan amal kepada masyarakat terpilih di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Kolej Teknologi Yayasan Sabah dan Yayasan Ikhlas yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu. (10 Dis)

Majlis MoU diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTYS, Haji Samin Ongki dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof. Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Yayasan Ikhlas adalah sebuah badan yang ditubuhkan mengikut Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) pada 5 Mac 2009 yang bertujuan untuk meringankan kesusahan di kalangan anak-anak yatim, orang kurang upaya, fakir dan mereka yang dilanda musibah akibat daripada sebarang malapetaka serta untuk memberi suatu biasiswa atau insentif kepada individu atau kumpulan atas kerja-kerja pelajaran atau kerja-kerja penyelidikan di Malaysia.

Menurut Haji Samin, atas kerjasama yang terjalin KTYS bersama Yayasan Ikhlas, antara aktiviti yang dirancang iaitu akan menyertai ibadah korban dan mengorbankan tiga ekor lembu atau kerbau.

Dalam pada itu, Haji Samin turut memaklumkan di KTYS juga ada menubuhkan Pusat Khidmat Komuniti, bertujuan untuk merapatkan hubungan kolej dengan komuniti.

“Pusat Khidmat Komuniti yang baru dilancarkan pada dua bulan yang lalu, antara aktiviti yang telah dijalankan seperti projek membina Pusat Orang Kelainan Upaya (OKU) di Tuaran dengan mendapat dana yang diperuntukkan daripada Bank Islam, tenaga kerjanya terdiri daripada pensyarah-pensyarah, pelajar elektrik, kimpalan dan pembinaan bangunan, sekarang sedang melakukan aktiviti menaik taraf dua buah perhentian bas di Kota Kinabalu dan mengadakan gotong royong membersihkan pantai di Tanjung Lipat bulan lepas.

“Banyak lagi aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan dari masa ke semasa seperti di sekolah-sekolah, masjid dan gereja, pihak KTYS bersedia untuk membantu mereka yang memerlukan misalnya ada alat penghawa dingin dan pendawaian elektrik yang mahu diselanggara atau dibaiki ataupun manghidupkan tenaga solar.

“Saya optimis dengan pelajar yang kita hasilkan ini tidak hanya berkelulusan dan berkemahiran tetapi dalam masa yang sama mereka lebih aktif membantu masyarakat lebih-lebih lagi di Sabah ini yang masih dahagakan pembelaan dan pembangunan,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan kerjasama itu juga pada tahun 2023 KTYS akan memperkenalkan dua aktiviti sukan yang baharu iaitu sukan berbasikal dan memanah, selain itu kerjasama Yayasan Ikhlas itu juga diharap akan dapat membantu menambah kemudahan pendidikan di kolej tersebut misalnya komputer yang sangat diharapkan di kolej itu.

“Saya harap dengan kerjasama ini, kita akan dapat mengumpul lebih banyak dana untuk kebaikan pelajar dan kolej kita, sekali gus kita dapat menanam semangat saling membantu dikalangan pelajar dan kakitangan di kolej ini,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis itu KTYS turut menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Yayasan Ikhlas untuk membantu aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang akan dijalankan di kolej itu.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Prof. Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, beliau berharap agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar Kolej Teknologi Yayasan Sabah dan tenaga pengajar membudayakan aktivisme khususnya dalam bidang kesukarelawan dan kemanusiaan.

“Kita ingin membangunkan generasi baru yang peduli tentang masyarakat sekeliling dan bersedia untuk turun padang bagi mereka yang memerlukan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *