Tinggalkan BERSATU, mahu beri tumpuan kepada GRS – Masidi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Keputusan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah yang meninggalkan parti itu dan memberi tumpuan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah demi kepentingan negeri ini dan kebaikan negara.

Setiausaha Agung GRS Dtauk Seri Masidi Manjun berkata, peningkatan retorik perkauman dan agama beberapa parti berasaskan Semenanjung khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tidak konsisten dengan nilai-nilai negeri di Borneo.

“Rakyat di Sabah dan Sarawak mempunyai berbilang kaum dan agama.  Ramai yang lupa bahawa orang Sabah dan juga Sarawak mempunyai ahli keluarga yang berbeza agama.

“Malah, kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang terbaik bagi mewakili pembentukan pentadbiran yang merangkumi kepentingan semua rakyat Malaysia, sambil melindungi kedudukan Islam, Bumiputera, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, pada ketika ini sukar untuk GRS mahupun rakyat Sabah menerima apa yang dipanggil sebagai ‘Politik Islam’.

“Sebagai seorang muslim, saya bangga dengan agama saya tetapi saya tidak fikir mana-mana pihak boleh mengaku sebagai wakil tulen agama agung ini.

“Islam adalah agama universal yang inklusif dan menghormati semua kepercayaan dan budaya. Ia adalah agama belas kasihan dan kemanusiaan yang menghormati hak orang lain termasuk hak minoriti,” katanya.

Masidi menambah bahawa ramai penduduk Sabah dan Sarawak mempunyai ahli keluarga yang berbeza agama, dengan perkahwinan antara orang yang berlainan agama adalah perkara biasa di kedua-dua negeri.

“Oleh itu, ramai orang di Sabah dan Sarawak tidak dapat dikenalpasti mengikut etnik atau agama mereka,” katanya.

Awal hari ini, Pengerusi GRS dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata, beliau dan pemimpin Bersatu Sabah yang lain akan meninggalkan parti itu. Tambahnya, mereka akan menubuhkan parti tempatan baharu.

Hajiji berkata, langkah pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti itu berdasarkan bahawa status quo “tidak boleh dipertahankan lagi”.

Tambahnya, semua bekas pemimpin Bersatu Sabah, termasuk wakil rakyat, akan terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, di bawah parti tempatan baharu yang bakal ditubuhkan.

Ketika GRS berjanji menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar di peringkat persekutuan, Bersatu berada dalam pembangkang sebagai sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN). – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *