Kristy Samunting, graduan ASTiF pertama terima Anugerah Pelajaran Diraja UMS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Graduan Ijazah Sarjana Muda Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) muncul sebagai pelajar pertama ASTiF yang menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.

Kristy Samunting, 23, tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut dan beranggapan anugerah seperti ini biasanya akan disandang oleh pelajar dalam bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, akaun dan sebagainya.

“Saya terharu dan bangga atas kejayaan diri saya sekarang serta sangat bersyukur kepada tuhan.  Sememangnya saya meminati dalam seni muzik sejak dulu lagi, ibu adalah antara individu yang perasan mengenai bakat yang ada pada saya.

“Jurusan saya sebelum ini adalah sains dan pernah bercita-cita untuk menjadi peguam ataupun arkitek. Namun saya menyedari bakat yang ada dalam diri dan mengambil keputusan untuk meneruskannya dalam bidang seni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini semalam.

Kristy berkata, dia berasa sangat bersyukur kerana pilihannya untuk terus bergiat dalam dunia seni muzik adalah tepat.

“Saya mahu buktikan kepada orang ramai, walaupun mengambil seni muzik bukan bermakna hanya mampu menjadi artis sahaja, namun ada lebih banyak cabang lagi kita mampu lakukan dalam dunia seni ini,” katanya.

Sementara itu, Kristy mengakui pernah bekerja separuh masa sebagai guru vokal secara dalam talian ketika berstatus pelajar namun tidak melupakan untuk melakukan tugasan dan praktis setiap hari.

Katanya, ini kerana program yang diikuti itu memerlukan praktis yang sangat banyak di samping membaca bahan-bahan melalui e-book.

“Selepas ini saya akan ke Singapura kerana telah mendapat tawaran bekerja di Aureus Academy dan akan mula bekerja pada bulan Januari nanti.  Moto hidup yang saya pegang sehingga ke hari ini ialah, ‘Do what you love, and love what you do’,” katanya.

Kristy merupakan graduan asal Tambunan, berbangsa Kadazandusun dan merupakan anak kelima daripada lima orang adik-beradik. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *