HomeUtamaTrafik penumpang udara Malaysia capai 80.8 juta pada 2023 - MAVCOM

Trafik penumpang udara Malaysia capai 80.8 juta pada 2023 – MAVCOM

Read Time:1 Minute, 39 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meramalkan trafik penumpang udara pada 2023 akan berkembang 40 peratus hingga 52 peratus tahun ke tahun, iaitu antara 74.6 juta dan 80.8 juta penumpang.

Dalam kenyataan hari ini, katanya ia akan didorong oleh pemulihan pasaran-pasaran utama secara beransur bermula suku keempat 2022 serta perancangan syarikat penerbangan tempatan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, AirAsia X dan Batik Air untuk memulihkan kapasiti dan meningkatkan kekerapan.

Menurut Laporan Industri Waypoint edisi Disember yang dikeluarkan hari ini, MAVCOM menyatakan bahawa jumlah trafik penumpang memuncak kepada 15.6 juta pada suku ketiga 2022, mencapai jumlah tertinggi sejak penularan pandemik COVID-19.

Suruhanjaya itu menjelaskan, trafik kargo udara pada 2023 diramalkan berkembang antara tiga peratus dan 4.8 peratus tahun ke tahun kepada antara 22.4 bilion dan 22.8 bilion tan kargo setiap kilometer (FTK) berikutan pertumbuhan berterusan sektor e-dagang serta elektrik dan elektronik.

Menurut Indeks Kesalinghubungan Udara MAVCOM, kedudukan Malaysia sebagai negara dengan kesalinghubungan tertinggi di ASEAN pada suku ketiga 2022 jatuh daripada tempat kelima kepada keenam,sebahagiannya disebabkan oleh dasar sifar COVID-19 di China.

Walaupun Malaysia menawarkan lebih banyak tempat duduk dan destinasi antarabangsa, penjadualan peratusan kerusi antarabangsa yang lebih tinggi ke lapangan terbang yang mempunyai pemberat rendah, secara langsung menyumbang kepada penurunan kedudukan itu.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berada pada kedudukan keempat bagi lapangan terbang dengan kesalinghubungan udara tertinggi di ASEAN, selepas Lapangan Terbang Changi di Singapura, Suvarnabhumi – Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok Baharu di Thailand dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Filipina.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kassim berkata, penyambungan semula dan pengenalan laluan perkhidmatan udara baharu oleh syarikat penerbangan tempatan serta kelonggaran sekatan perjalanan di seluruh dunia telah menyumbang secara ketara kepada pemulihan trafik penumpang ke Malaysia.

Kesalinghubungan udara terus menjadi pemacu signifikan kepada pertumbuhan ekonomi, justeru, beliau berkata penting untuk mengkaji semula kualiti kesalinghubungan udara Malaysia dan menyelaraskan perkembangan masa hadapan industri sejajar dengan agenda pembangunan ekonomi negara. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

KGKS terima geran PHEKS terbesar berjumlah RM56,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular