Hajiji mahu program, projek kerajaan disiapkan mengikut jadual

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Pegawai-pegawai daerah di negeri ini diminta supaya meningkatkan tahap kerja dan usaha khususnya bagi pelaksanaan program ataupun projek-projek pembangunan kerajaan di daerah masing-masing agar dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau amat sedih kerana mendapat laporan, program dan pelaksanaan projek-projek pembangunan di peringkat daerah yang dilaporkan dalam tahun ini dan tahun lepas lebih kurang 60 peratus sahaja yang dapat dilaksanakan.

“Kita sudah bagi peruntukan, sudah diluluskan, tapi laporan akhir tahun tidak begitu memberangsangkan. Rakyat mengharapkan kita melaksanakan program ini, peruntukan sudah ada, tapi tidak siap, tapi minta projek, sudah dapat projek, tidak dilaksanakan.

“Saya sudah minta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk semak perkara ini,” katanya semasa berucap pada Program Jalinan Strategik SEDIA dengan Pentadbiran Daerah “Seiring Sejalan” di Bilik Bankuasi, Menara Kinabalu di sini hari ini.

Selaku Ketua Menteri, Hajiji berkata dalam perkara ini beliau akan terus memantau keadaan ataupun Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pegawai-pegawai daerah. Menurutnya, beliau ada menerima laporan ada yang “pandai”, ada juga yang “memandai-mandai”.

“Kita akui bahawa peranan pegawai daerah ini amat penting, jadi saya selaku Ketua Menteri akan lebih bertegas dengan anda semua kerana saya ada menerima laporan menyatakan macam-macam, saya pantau sendiri, jadi sekiranya laporan yang saya terima ini benar ataupun betul, saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Justeru, saya mahu pegawai-pegawai daerah dan penolong-penolong pegawai daerah ini mempertingkatkan lagi tahap kerja dan juga usaha dilakukan terutama sekali dalam melaksanakan program atau projek-projek yang telah diluluskan di daerah masing-masing terutama dalam konteks projek yang dibawah selia pihak Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA),” tegasnya.

Hajiji turut mengingatkan akan bertindak lebih tegas kepada penjawat awam yang tidak memenuhi aspirasi kerajaan ataupun tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

“Di sinilah peranan pegawai-pegawai daerah ini amat penting, jadi kita harap supaya perkara ini dapat dilihat secara serius.

“Dan saya juga berharap sangat supaya program-program kerajaan yang mahu dilaksanakan di peringkat daerah sama ada melalui SEDIA ataupun daripada kementerian-kementerian mestilah dilaksanakan mengikut jadual,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *