Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU: Orang ramai khususnya kanak-kanak yang datang berkunjung ke pusat membeli belah Centre Point Sabah di sini teruja untuk merasai sendiri kehadiran ‘salji’ yang turun bersempena dengan sambutan perayaan Hari Krismas.
Program yang dikenali sebagai ‘Snow Showtime’ itu telah diadakan selama tiga hari dan berakhir semalam berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung untuk hadir menyaksikan aktiviti berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Centre Point Sabah Meredith Madani berkata, program itu sebelum ini telah berjaya dilaksanakan bagi edisi pertama pada tahun lalu.
“Disebabkan sambutan yang sangat memberangsangkan pada tahun lalu, kita meneruskan lagi untuk tahun ini. Kami tidak menyangka meskipun hanya tiga hari diadakan, kehadiran pengunjung khususnya kanak-kanak amat baik.
“Program ini kami adakan bermula jam 6 petang hingga 8 malam dimana kami mahu pengunjung merasai sendiri kemeriahan salji yang turun pada pada waktu petang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Meredith berkata, ‘Snow Showtime’ itu juga diadakan bagi mengisi masa cuti persekolahan sehingga penghujung tahun ini.
‘Snow Showtime’ itu juga turut tular di media sosial khususnya aplikasi TikTok menyebabkan para pengunjung teruja untuk datang termasuk ibu bapa. – SABAH MEDIA