Mangsa air pasang besar, banjir melepasi 1,000 orang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa yang terjejas dengan fenomena air pasang besar dan banjir di Sabah kini mencecah seramai 1,149 orang melibatkan 284 ketua isi rumah (KIR) setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan bahawa Sandakan menjadi daerah terbaru yang terkesan susulan fenomena air pasang besar yang berlaku semalam dengan 162 mangsa melibatkan 29 KIR direkodkan.

Menurut kenyataan, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baru dibuka di daerah berkenaan iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 2 bagi menempatkan semua mangsa-mangsa yang terkesan akibat fenomena berkenaan.

“Sehingga jam 8 pagi tadi, daerah Pitas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 721 mangsa yang ditempatkan di enam buah PPS. Antaranya di Dewan Kampung Mempakad (163 mangsa) dan Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (277 mangsa).

“Selain itu, seramai 13 mangsa masih ditempatkan di Dewan Terbuka Kampung Salimpodon; Gereja SIB Kampung Luntuk (79 mangsa); Dewan Terbuka Kampung Rosob (156 mangsa) dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan (33 mangsa),” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Sementara itu di Kota Belud, seramai 212 mangsa melibatkan 77 KIR ditempatkan di dua PPS berikutan berlaku banjir di daerah berkenaan manakala di Kota Kinabalu pula seramai 54 mangsa melibatkan 15 KIR masih ditempatkan di PPS.

“Di Kota Belud, sebanyak dua PPS yang aktif dibuka iaitu di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Hwa (150 mangsa) dan Dewan SK Pekan (62 mangsa).

“Manakala di Kota Kinabalu hanya terdapat satu PPS yang aktif iaitu di Dewan Muhibbah Sembulan yang menempatkan seramai 54 mangsa,” katanya.

Trend semasa situasi banjir dan air pasang besar pada masa ini masih menunjukkan peningkatan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *