Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA BELUD: Seramai 40 pesawah di Kampung Jawi-Jawi di sini menarik nafas lega apabila hasil tuaian padi menerusi program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) meningkat lebih 60 peratus.
Pesawah yang terlibat juga telah mencapai sasaran apabila tuaian padi bagi musim pertama di Blok tiga dan empat, Kampung Jawi-Jawi mencatat peningkatan dari 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.
Penyelia SMART SBB Kampung Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata, peserta program ini menyatakan rasa gembira dan syukur atas perolehan hasil yang melebihi sasaran ditetapkan iaitu 4 tan metrik sehektar.
“Sawah seluas 42.34 hektar di sini telah ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi telah bermula pada 5 September lalu dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar.
“Para pesawah di sini pada awalnya kurang yakin dengan program SMART SBB. Namun setelah dicuba dan dilihat hasilnya, ramai yang mula tampil menunjukkan minat untuk menyertai program ini.
“Kini setelah masuk musim kedua, mereka secara sukarela mula mengikuti kaedah penanaman yang disarankan oleh BERNAS dan agensi-agensi yang terlibat. Selain itu, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperolehi di kawasan ini, kini telah dibekalkan oleh BERNAS,” katanya.
Menurutnya, kemudahan yang diberikan itu telah memberi keselesaan kepada pesawah selain menjimatkan masa dan tenaga mereka.
Peserta muda, Hisham Stu yang pertama kali mengusahakan sawah amat berpuas hati dengan pulangan yang diterimanya.
“Sebelum ini, saya memperolehi pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM 2,000 semusim. Alhamdulillah setelah menyertai SMART SBB bersama BERNAS, ianya meningkat kepada RM6,000.
“Selain itu, kerja-kerja yang dahulunya berat dan merbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti drone untuk membaja dan meracun rumpai. Bimbingan dari BERNAS dan agensi-agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih efisyen,” katanya.
Menurutnya, pencapaian ini ternyata membolehkan para pesawah di sini membayar balik kos operasi mereka, selain menikmati lebihan pendapatan.
Sementara itu, seorang lagi peserta SMART SBB, Duli Okoi menyatakan perasaan amat berpuas hati dengan hasil dan pendapatan yang diperolehinya bagi musim ini.
“Pematuhan kepada jadual kerja ladang yang teratur dan aktiviti pengurusan ladang yang dilakukan secara bersepadu telah membuahkan hasil yang cukup ketara.
“Kepada para pesawah di Kampung Jawi-Jawi yang masih belum menyertai Program SMART SBB, sertailah kami di musim-musim akan datang,” katanya.
SMART SBB mula diperkenalkan pada awal tahun 2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Berdasarkan pencapaian setakat ini, program ini ternyata berada di landasan yang tepat dalam membimbing para pesawah dan memacu perubahan ke arah pembangunan sektor padi dan beras tempatan.
Setakat ini, BERNAS sedang dalam perancangan untuk membangunkan tanah seluas 127 hektar bersama 86 peserta di Kota Belud, Sabah. Program akan diperluaskan lagi di masa akan datang agar ia dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai pesawah. – SABAH MEDIA