Data komprehensif kenal pasti penerima subsidi bersasar — Salahuddin 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

BERNAMA

JOHOR BHARU — Kerajaan akan menggunakan data komprehensif yang dihimpunkan melalui kesemua pangkalan data bagi mengenal pasti penerima subsidi bersasar membabitkan minyak petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pangkalan data itu tidak hanya daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi ia juga diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Khazanah Nasional Bhd, Jabatan Perangkaan Malaysia serta kajian-kajian universiti.

Beliau berkata pusat data yang komprehensif adalah penting dan perlu dalam menjayakan mekanisme pemberian subsidi bersasar itu.

“Saya sebut dengan jelas sebelum ini bahawa, data JPJ adalah satu daripada data yang kita perlu, tetapi kita ada data dari LHDN, Khazanah, Jabatan Perangkaan Malaysia, Bank Negara dan kajian-kajian universiti.

“Kita perlu menghimpunkan kesemua data. Kementerian atau Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) harus melihat semua data itu sebelum kita membuat keputusan akhir,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), di sini malam tadi.

Beliau mengulas mengenai pandangan pakar-pakar ekonomi bahawa pemberian subsidi menggunakan pangkalan data JPJ dengan melihat kepada kuasa kuda (cc) kenderaan adalah tidak bersesuaian.

Salahuddin baru-baru ini dilaporkan berkata pangkalan data daripada JPJ misalnya boleh digunakan untuk subsidi petrol RON95, berikutan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis cc kenderaan dimiliki. 

Sementara itu, Salahuddin berkata KPDN sedang mengkaji inisiatif Nano Retailerssebagai langkah untuk membantu golongan suri rumah sepenuh masa menjana pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka.

Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama DPIM itu memberi peluang kepada suri rumah untuk menjual 11 barangan asas seperti gula, tepung, telur, beras, minyak masak dan barang-barang kering.

“Mereka ini, kita akan bantu dapat bekalan terus dari pengilang, jadi kita boleh selamatkan mereka dari tiga atau empat lapisan orang tengah.

“Di samping memberi pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar B40 juga dapat dibantu dengan kadar harga yang murah berbanding kedai-kedai biasa,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek percubaan itu boleh dilaksanakan di setiap negeri dengan melibatkan beberapa kawasan sebelum diperluaskan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *