Fasiliti lebih baik untuk penempatan gajah diperlukan – Agustine

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah berikhtiar untuk mencari kemudahan yang lebih baik bagi menempatkan gajah-gajah dibawah seliaan jabatan itu agar haiwan tersebut mempunyai kebebasan untuk bergerak.

Susulan insiden yang meragut nyawa seorang petugas Taman Hidupan Liar Lok Kawi di sini, akibat diserang seekor gajah pada Ahad lalu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Agustine Tuuga berkata, gajah yang merbahaya itu telah ditempatkan di kawasan pengasingan.

Katanya, diharap ini langkah sementara kerana kebebasan mereka (gajah) dinafikan dan biasanya mereka dirantai.

Menurut Agustine, pihaknya akan berikthiar untuk gajah-gajah tersebut ada kebebasan bergerak dengan menempatkan di fasiliti yang ada kemudahan sedemikian.

“Namun Sabah tiada kemudahan sedemikian kecuali kerajaan dapat memberikan peruntukan mencukupi untuk menyediakan kemudahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Agustine turut berkata, langkah lain ialah menghantar gajah-gajah itu ke luar negara yang mempunyai kemudahan mencukupi di mana mereka bebas bergerak tanpa dikurung di tempat sempit atau dirantai.

“Kebajikan gajah adalah aspek paling penting dalam pengurusan gajah dalam kurungan,” jelasnya.

Tambahnya, terlalu banyak gajah dalam kurungan di Sabah sekarang. Fasiliti sedia ada tidak dapat menampung kebebasan mereka bergerak dalam kawasan yang mencukupi keluasannya.

“Justeru, bilangan kakitangan yang menjaga gajah-gajah ini juga adalah sangat jauh kurang daripada bilangan yang sepatutnya. Kebanyakan pekerja adalah ditaja atau dibayar gaji oleh badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” katanya.

Pada Ahad lalu, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, petugas Taman Hidupan Liar Lok kawi, berusia 49 tahun berkenaan, dikatakan sedang memberi rawatan terhadap seekor anak gajah pygmy yang cedera sebelum seekor gajah dewasa meluru ke arahnya secara tiba-tiba dan menyerang mangsa.

Akibat daripada serangan itu, mangsa parah di bahagian dada serta perut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kesihatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata pihaknya masih menunggu laporan lengkap mengenai kejadian tersebut daripada pihak berkuasa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *